TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Penumpang kereta bakal diwajibkan pakai tali pinggang keledar atau bayar saman RM300' - JPJ

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 11 Sept - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna dan penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata, tarikh pelaksanaan penguatkuasaan akan dimaklumkan kemudian, namun buat masa ini JPJ memberi tumpuan kepada advokasi melalui kempen “Klik Sebelum Gerak” yang dilancarkan pada Khamis.

"Selaras dengan kempen ini juga, kita akan maklumkan kemudian penguatkuasaan untuk pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang-penumpang kereta persendirian selepas ini.

"Kita akan maklumkan nanti, sekarang ini kita mulakan dengan kempen terlebih dahulu kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ dan kemudian kita akan maklumkan bilakah tarikh yang kita akan tentukan untuk penguatkuasaan bagi penumpang-penumpang kereta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Individu yang gagal memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 (Pindaan 2019).

Aedy Fadly berkata, kempen itu menzahirkan komitmen JPJ untuk menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai langkah keselamatan asas sebelum memulakan perjalanan.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pemakaian tali pinggang keledar mampu mengurangkan risiko kematian penumpang hingga 50 peratus sekiranya berlaku kemalangan.

"Dalam hal ini, pemakaian tali pinggang keledar akan memastikan pemandu dan penumpang kekal duduk di tempat duduk sekiranya berlaku kemalangan berbanding mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk tercedera.

"JPJ akan terus melaksanakan program advokasi, hebahan melalui pelbagai saluran serta pemeriksaan berkala bagi memastikan tahap pematuhan yang optimum dapat dicapai.

"JPJ amat komited untuk menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai norma dan budaya keselamatan nasional demi melindungi nyawa setiap pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar telah dilaksanakan terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran sejak 1 Julai lalu.

"Kita dah mulakan dengan langkah penguatkuasaan (tali pinggang keledar), kita saman penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.

Peraturan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tarikh berkenaan diberi tempoh untuk memasang tali pinggang keledar. 

+ - reset