TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya tak tahu, tolong beritahu jika ada, saya nak 'claim' - Tun M sindir SPRM sedang siasat harta di UK

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 11 Sept – Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinikal melahirkan rasa hairan terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan pihaknya sedang menyiasat harta bekas perdana menteri itu di United Kingdom (UK).

Dr Mahathir, yang pernah dua kali menjadi perdana menteri, berkata beliau sendiri tidak mengetahui kewujudan aset berkenaan.

“Rupa-rupanya saya ada harta di UK. Saya tak tahu,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau seterusnya menggesa SPRM mendedahkan lokasi sebenar harta tersebut sekiranya benar ia wujud.

“Tolong bagi tahu kepada saya supaya saya dapat claim (tuntut) harta ini. Setelah dapat harta ini saya akan hadiah kepada ramai yang miskin,” bidas beliau.

Selasa lalu, Azam dalam sidang media di Putrajaya mengesahkan siasatan terhadap Mahathir masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset yang dipercayai dimilikinya di UK.

Menurut Azam, pihaknya kini dalam proses mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa di UK berhubung perkara itu.

“Siasatan melibatkan Dr Mahathir masih lagi dijalankan dan kami sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar terutama sekali pihak UK, pihak autoriti UK berhubung dengan aset-aset yang dimiliki oleh Dr Mahathir.

“Sekiranya (maklumat) dapat diperoleh, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

Pada April lalu, Azam dilaporkan berkata Mahathir adalah antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta. Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anak beliau turut diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh ditetapkan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Berdasarkan pengisytiharan harta kepada SPRM pada 21 Januari lalu, Tan Sri Mokhzani Mahathir dilaporkan memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir pula berjumlah RM246.2 juta. - Media Telus

+ - reset