TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ini bukan masa nak cari salah siapa' - Akmal Saleh cadang UDA beli rumah Kampung Sungai Baru, tawar sewa beli hanya kepada bumiputera

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 11 Sept  – Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru terus mendapat perhatian apabila Pemuda UMNO menggesa kerajaan menetapkan syarat bahawa semua rumah yang dibangunkan di kawasan itu hanya boleh dimiliki oleh golongan bumiputera.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan perkara tersebut wajar dipertimbangkan kerana tanah asal kampung berkenaan adalah milik bumiputera.

Menurutnya, langkah itu akan memastikan kediaman yang lebih baik dapat terus didiami penduduk asal, selain menjamin hak pemilikan tanah bumiputera tidak terjejas.

"Dalam isu pembangunan di Kampung Sungai Baru ini kita mendesak kerajaan agar semua rumah yang dibangunkan itu hanya boleh dibeli oleh bumiputera memandangkan tanah asal adalah tanah bumiputera.

"Jika rumah tersebut tidak dapat dibeli oleh bumiputera, kerajaan melalui agensi seperti UDA Holdings Berhad (UDA) perlu membeli dan membuat sewaan secara sewa beli kepada kaum bumiputera.

"Ini bukan masa untuk mencari siapa salah, tetapi solusi untuk kepentingan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kekecohan berlaku apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama semasa operasi pengosongan dijalankan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.

Dalam kejadian itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian muka ketika cuba membubarkan penduduk yang merempuh kawalan polis untuk memasuki kawasan operasi.

Lokasi sekitar kampung berkenaan turut dikawal ketat polis seawal jam 7 pagi, manakala anggota keselamatan mengarahkan penduduk bersurai bagi memastikan keadaan berjalan lancar.

+ - reset