TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar IKBN Miri nafi dibuli, dakwa hanya gurauan hari lahir - Polis

By
|
Kongsi
image

KUCHING 24 Sept - Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular dalam satu rakaman video di media sosial menafikan dirinya menjadi mangsa buli, sebaliknya menjelaskan ia hanyalah gurauan rakan-rakan sempena hari lahirnya.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pelajar berkenaan hadir ke balai polis bersama ibu bapa untuk menjelaskan bahawa kejadian pada 19 September lalu dilakukan tanpa sebarang unsur paksaan atau penderaan.

"Sehubungan itu, polis telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa serta kesemua pelajar berusia 18 hingga 24 tahun yang terlibat dalam rakaman video tersebut bagi melengkapkan siasatan, dan kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

"Polis akan terus memantau perkembangan kes ini, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya muncul laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Farhan, pihak IKBN Miri turut mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan kampus dan telah memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap semua pelajar terbabit.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sebaliknya menyalurkan maklumat relevan terus kepada polis.

Sebelum ini, rakaman berdurasi 13 saat memaparkan sekumpulan pelajar mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang sehingga terhentak pada tiang menjadi tular, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat serta spekulasi kemungkinan berlaku kejadian buli.

+ - reset