TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RON95 hanya untuk rakyat Malaysia, kenderaan milik warga asing kekal dilarang

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 23 Sept – Kerajaan mengekalkan larangan ke atas semua kenderaan bernombor pendaftaran asing daripada membeli petrol RON95, walaupun harga bahan api itu diapungkan mengikut pasaran semasa kelak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Beliau menjelaskan, warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara masih dibenarkan membeli RON95, namun pada harga pasaran yang akan diumumkan hujung bulan ini.

"Bagi kenderaan berdaftar luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97, seperti ketetapan sedia ada," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Zon Utara, di sini, hari ini.

Mengulas kebimbangan bahawa kelonggaran pembelian tanpa subsidi oleh warga asing mungkin menjejaskan bekalan untuk rakyat tempatan, Amir menegaskan isu itu tidak berbangkit.

"Soal kekurangan bekalan tak timbul kerana dasar larangan pembelian RON95 terhadap kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak pernah berubah.

"Mereka (kenderaan dengan nombor pendaftaran asing) hanya boleh beli RON97 yang harganya memang sudah 'free float' (diapungkan mengikut harga pasaran)... sesiapa sahaja boleh beli (RON97)," katanya.

 

 

+ - reset