TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 1 tan ikan mati di Sungai Bekok, najis ladang ayam disyaki punca

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT 23 Sept - Lebih satu tan ikan pelbagai spesies ditemui mati di Sungai Bekok, Yong Peng, dipercayai berpunca daripada pencemaran sisa najis ladang ternakan ayam berhampiran.

Antara ikan yang ditemui mati termasuklah baung, lampam, terbol dan lundu, dengan bangkai-bangkai berkenaan boleh dilihat sejauh kira-kira 15 kilometer sepanjang sungai tersebut.

Penduduk tempatan, Muhd Sufi Sharifudin, 31, yang juga nelayan di sungai berkenaan berkata, insiden kali ini adalah yang terbesar sejak beliau menetap di kawasan itu lima tahun lalu.

"Akhir bulan lalu, hampir satu tan ikan ditemukan mati dan ketika itu, saya bersama Jabatan Perikanan melakukan tinjauan di sungai bagi mengenal pasti puncanya.

"Kejadian pada 18 September lalu adalah terbesar kerana lebih banyak ikan ditemukan mati sama ada bersaiz kecil mahupun besar," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan insiden berulang kali itu berpunca daripada aliran najis ladang ayam berhampiran yang masuk ke sungai selepas hujan lebat.

"Biasanya bulan hujan lebat air najis akan dibawa ke sungai. Ketika cuaca panas, ia tidak berlaku seperti ini kerana sisa najis tersangkut dalam parit.

"Perkara ini pernah diajukan kepada pihak berkuasa termasuk menjalankan tinjauan bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya tindakan segera diambil. Sebelum ini ada kakitangan Jabatan Perikanan turut membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti punca," katanya.

Sementara itu, JAS dalam kenyataan mengesahkan aduan penduduk berasas selepas pegawai penyiasat mendapati terdapat alur air berwarna hitam serta berbau busuk yang disyaki menjadi punca pencemaran.

"Dengan bantuan orang awam, pasukan menemui satu alur air berwarna hitam serta berbau busuk yang disyaki punca pencemaran Sungai Bekok.

"Hasil siasatan mendapati ia dari tapak penyimpanan najis ayam di sebuah ladang ternakan yang tidak dikawal selia dengan baik sehingga menyebabkan kacau ganggu awam dan mencemari air sungai.

"Surat pemakluman sudah dipanjangkan kepada agensi berkaitan bagi menangani isu ini. Aktiviti ternakan tidak dikuatkuasakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," kata kenyataan itu.

 

+ - reset