TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penduduk setinggan di Jinjang Tambahan lega arahan pengosongan ditangguh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Sept – Seramai 37 keluarga setinggan di Jinjang Tambahan menarik nafas lega apabila arahan mengosongkan rumah yang didiami sejak lebih 60 tahun lalu ditangguhkan, sekali gus memberi sedikit ruang kepada mereka untuk memperjuangkan nasib.

Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, keputusan itu memberi peluang kepada penduduk B40 terbabit menyuarakan keresahan mereka selepas berdepan tekanan pengusiran melalui proses mahkamah di bawah Order 89.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membawa mesej jelas kepada kerajaan supaya memahami kedudukan golongan B40 yang terjejas.

“Kami rasa ada ketidakadilan apabila penyewa hanya tiga tahun mampu menggunakan proses mahkamah untuk mengusir keluar penduduk yang sudah berdekad tinggal di sini,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Poh Ping berharap kerajaan, khususnya Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta Menteri Sumber Asli dapat menggunakan kuasa sewajarnya untuk memutuskan perjanjian penyewaan tanah berkenaan.

Menurutnya, maklum balas daripada Kementerian Sumber Asli memaklumkan perkara itu akan dikaji semula sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tujuan akhir kita adalah untuk mematahkan perjanjian penyewaan ini. Kami bukan minta rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana ketika ini unit PPR di Wilayah Persekutuan sudah penuh.

“Kalau pun ada, lokasinya sangat jauh daripada kemudahan asas seperti di Puchong atau Sungai Besi,” jelasnya.

Beliau menambah, penduduk mahu kawasan itu dikekalkan sehingga pelaksanaan pembangunan residensi seperti digariskan dalam Pelan Tempatan Bandaraya Kuala Lumpur 2040 (TBKL 2040).

Bagi Lim Soo Heong, 53, keputusan menangguhkan arahan itu sedikit melegakan namun belum menjamin masa depan mereka.

“Memang lega bila dapat tahu tidak jadi roboh, tapi sampai bila? Kami masih tidak tahu nasib kami selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Kew Seong Yew, 64, menegaskan penangguhan semata-mata bukan penyelesaian kekal.

“Kami mahu kerajaan campur tangan secara serius. Kalau ditangguh tapi akhirnya tetap kena keluar, masalah kami tidak selesai,” katanya.

Penduduk lain, Chong Yee Keong, 65, pula berkata generasi tua seperti dirinya berasa sangat tertekan dengan ketidakpastian yang berlaku.

“Kami sudah lama di sini, semua kenangan ada di sini. Umur pun sudah lanjut, kalau dihalau begitu sahaja memang sangat susah untuk mula hidup baru,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataan semalam berkata, hasil perbincangan beliau bersama beberapa agensi kerajaan, pelaksanaan perintah pengosongan berjaya ditangguhkan.

Menurutnya, keputusan dicapai bahawa tiada tindakan meroboh rumah, kedai atau kilang akan dijalankan buat masa ini, namun semua pihak perlu menunggu sekiranya terdapat tindakan undang-undang yang bakal diambil oleh penyewa tanah terbabit.

+ - reset