TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Demi pertimbangan adil, dua mufti setuju dengan Ketua Polis Kelantan, undang-undang seks bawah umur perlu diteliti semula

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Sept – Dua mufti negeri dan wilayah menyuarakan pandangan selari berhubung cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat agar undang-undang kes seksual bawah umur dengan kerelaan atau suka sama suka diteliti semula.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed, berkata undang-undang sedia ada perlu dikaji semula supaya semua pihak yang terbabit mendapat pertimbangan adil.

“Secara peribadi, saya berasakan undang-undang sedia ada perlu dikaji semula supaya semua pihak yang terbabit menerima pertimbangan yang adil.

"Dalam sebarang tindakan diambil, ibu bapa juga harus dilibatkan, terutamanya apabila membabitkan pelaku bawah umur, bukannya hanya menyelesaikan perkara itu secara senyap,” katanya.

Beliau turut menegaskan isu sosial harus ditangani dari peringkat akar umbi melalui pembentukan nilai dan keimanan di sekolah, bukan hanya selepas kes berlaku.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan berasingan turut menyokong cadangan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, perbincangan terbuka dengan pelbagai pihak berkepentingan perlu diadakan agar hukuman dalam kes berkenaan lebih adil serta sesuai dengan keperluan semasa.

Pejabat Mufti Wilayah menegaskan pandangan Ketua Polis Kelantan wajar diberi perhatian kerana menyentuh isu keadilan, selain melibatkan keseimbangan antara undang-undang sivil dan syariah.

Cadangan itu timbul selepas Mohd Yusoff mendedahkan statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka, bukan paksaan.

Sebelum ini, beliau mencadangkan supaya undang-undang sedia ada diteliti semula agar tindakan tidak hanya dikenakan kepada pelaku, sebaliknya turut mengambil kira pasangan mereka. - Media Telus

 

 

 

+ - reset