TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM cadang rehatkan TPR AGC ditahan kes dadah

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 24 Sept. – Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan ditahan kerana kes dadah semalam sebenarnya merupakan pegawai sokongan dari Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya pegawai terbabit direhatkan daripada menjalankan tugas sementara menunggu siasatan lanjut.

Menurutnya, cadangan itu telah dibincangkan dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, memandangkan kes berkenaan kini dalam siasatan polis.

“Kebiasaannya, kes sebegini saya akan cadangkan kepada Peguam Negara supaya pegawai tersebut direhatkan terlebih dahulu daripada menjalankan sebarang pendakwaan di mahkamah.

“Kes ini baru berlaku semalam (Selasa) dan saya segera berbincang dengan Peguam Negara. Kami bersetuju menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis. Jika ada kes, polis akan membawanya ke mahkamah,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online, hari ini.

Mengulas isu tapisan terhadap pegawai terbabit sebelum ditugaskan di SPRM, Azam menjelaskan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa AGC.

“Beliau berkhidmat di bawah AGC dan sepatutnya sudah melalui segala tapisan termasuk ujian saringan dadah yang wajib dibuat kepada semua penjawat awam, termasuk TPR. Jika benar berlaku, ini adalah tindakan individu itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, SPRM menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah melibatkan pegawai mahupun kakitangannya.

TPR terbabit ditahan di rumahnya semalam dengan pemeriksaan polis menemukan bahan terlarang disyaki dadah. Individu tersebut kini direman tiga hari sehingga 25 September ini. — Media Telus

+ - reset