TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat Malaysia, K Datchinamurthy jalani hukuman gantung di Singapura esok

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 24 Sept – Seorang rakyat Malaysia, K Datchinamurthy, 39, dijadual menjalani hukuman gantung di Singapura esok selepas disabit kesalahan mengedar 44.96 gram heroin pada 2011.

Pelaksanaan hukuman itu tetap diteruskan meskipun terdapat bantahan terakhir, termasuk perhimpunan di Hong Lim Park, Singapura, seperti dikongsikan bekas peguam dan aktivis hak asasi manusia, M Ravi, di Facebook.

Notis rasmi hukuman diterima pada Ahad lalu dan turut dimuat naik di media sosial bersama gambar Datchinamurthy.

Datchinamurthy, yang ditangkap pada 2011, dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Beliau sebelum ini dijadual menjalani hukuman pada 2022 namun berjaya mendapatkan penangguhan selepas memfailkan saman terhadap kerajaan Singapura berhubung pelaksanaan hukuman berkenaan.

Beliau merupakan seorang daripada empat rakyat Malaysia yang masih menunggu hukuman mati di republik itu. Tiga lagi ialah P Pannir Selvam, S Saminathan dan R Lingkesvaran.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan mengambil segala langkah diplomatik dan perundangan bagi melindungi hak serta nyawa rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati di luar negara.

“Kerajaan perlu menggerakkan mekanisme hak asasi antarabangsa dan serantau bagi memastikan kes-kes ini diberikan perhatian sewajarnya,” kata Suhakam dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu turut menekankan keperluan Malaysia mengekalkan peranan kepimpinan dalam memperjuangkan penghapusan hukuman mati secara berperingkat di peringkat serantau dan antarabangsa.

+ - reset