TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat Malaysia di Hong Kong, Macao diingatkan berjaga-jaga susulan Taufan Super Ragasa

By
|
Kongsi
image

HONG KONG 24 Sept. – Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Macao menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di wilayah berkenaan supaya berwaspada susulan amaran Taufan Super Ragasa yang kini melanda.

Dalam satu kenyataan di Facebook, pihak konsulat memaklumkan bahawa amaran Taufan Tropika Isyarat No.10 dikeluarkan pada jam 2.40 pagi waktu tempatan, diikuti Pengumuman Khas Isyarat Ribut Petir Amber lima minit kemudian.

“Orang ramai dinasihatkan berada di tempat selamat ketika amaran siklon tropika T8 atau lebih tinggi berkuat kuasa. Simpan bekalan makanan dan keperluan asas secukupnya serta elakkan kawasan persisiran pantai,” kata kenyataan itu.

Konsulat turut menasihatkan rakyat Malaysia menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan.

Bagi mereka yang memerlukan rawatan kecemasan, talian 999 boleh dihubungi segera. Rakyat Malaysia juga digalakkan menghubungi konsulat melalui e-mel mwhongkong@kln.gov.my atau WhatsApp +852-6900-6390 untuk bantuan lanjut.

Pihak konsulat menegaskan agar semua warga Malaysia mengikuti arahan keselamatan tempatan serta mendapatkan perkembangan semasa daripada Balai Cerap Hong Kong dan Biro Meteorologi Macao. - Media Telus

+ - reset