TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Itali turunkan kapal tempur tentera bantu Flotila Global Sumud selepas diserang dron

By
|
Kongsi
image

 

ATHENS/ROME 24 Sept - Itali menghantar kapal tempur tentera laut bagi memberi bantuan kecemasan selepas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran Greece, pada Rabu.

Flotila yang terdiri daripada kira-kira 50 bot awam itu sedang berlayar menuju Gaza dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel, sambil membawa peguam, aktivis serta tokoh masyarakat termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg.

Jurucakap March to Gaza Greece, Marikaiti Stasinou, berkata serangan berlaku 30 batu nautika dari Pulau Gavdos apabila 12 dron meletup berhampiran kapal-kapal GSF.

“Semua penumpang selamat, walaupun beberapa kapal mengalami kerosakan,” katanya.

Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, dalam kenyataan menyifatkan konvoi itu telah menjadi sasaran ‘pihak tidak dikenali buat masa ini’ dan mengecam keras serangan berkenaan.

Beliau mengesahkan frigat pelbagai guna Itali, Fasan, yang berada di utara Crete, sedang menuju lokasi bagi kemungkinan operasi menyelamat, terutama melibatkan rakyat Itali yang berada di atas kapal flotila.

“Jika diperlukan, frigat kami dilengkapi kemudahan perubatan penuh,” kata seorang pegawai tentera laut Itali.

Israel sebelum ini berulang kali mengkritik misi flotila, menuduh para aktivis bersekongkol dengan Hamas. Pada Rabu, Kementerian Luar Israel mengeluarkan amaran di platform X bahawa pihaknya akan mengambil tindakan menghentikan flotila sekiranya bantuan tidak dihantar terlebih dahulu ke pelabuhan Israel untuk diserahkan kepada pihak berkuasa sebelum memasuki Gaza.

Setakat ini, tiada komen segera daripada pihak tentera Israel mengenai serangan berkenaan.

Sementara itu, protes solidariti terhadap rakyat Palestin turut memuncak di Itali apabila pekerja pelabuhan di Genoabertindak keluar serta menyekat laluan terminal utama sebagai sebahagian daripada mogok menentang tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Di Pelabuhan Livorno, tindakan serupa turut berlaku, manakala beberapa sekolah dan perkhidmatan awam di seluruh Itali dilaporkan terjejas akibat mogok berkenaan. - Agensi

+ - reset