TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Papagomo diperintah bela diri kes hasutan babit Agong

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Sept – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penulis blog Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, membela diri atas tuduhan menghasut sehingga mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung isu KK Supermart tahun lalu.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Oleh itu tertuduh diperintah membela diri,” katanya.

Prosiding bela diri ditetapkan pada 4 November ini, dengan Papagomo dijangka menjadi saksi tunggal, menurut peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sebelum ini, seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula Oktober 2024. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman.

Pada 2 Mei 2024, Papagomo didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman X mengenai isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. menghadap Sultan Ibrahim.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 29 April 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. 

+ - reset