TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia desak sekatan senjata global hentikan serangan Israel di Gaza

By
|
Kongsi
image

NEW YORK 27 Sept. – Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa segera menghentikan serangan Israel di Gaza dengan melaksanakan sekatan senjata global serta tekanan ekonomi yang lebih keras.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dunia tidak boleh terus berdiam diri sementara puluhan ribu nyawa tidak bersalah terus terkorban akibat kekejaman rejim Zionis.

“Kita mesti meningkatkan libat urus dengan anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengguna pakai Perkara VII Piagam PBB. Langkah ini penting bagi membuka jalan kepada sekatan senjata global dan sekatan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Peringkat Tinggi bagi Menghentikan Pembunuhan Beramai-Ramai di Gaza anjuran Kumpulan Hague.

Beliau turut menggesa kerjasama erat dengan Jawatankuasa PBB mengenai Pelaksanaan Hak Tidak Boleh Diketepikan Rakyat Palestin serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menggerakkan tekanan diplomatik secara bersama.

Mohamad menegaskan Kumpulan Hague mesti menyatukan negara-negara bagi melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap Israel, termasuk menyekat bekalan teknologi dan jentera berat yang boleh digunakan dalam operasi ketenteraan.

“Dengan cara ini, kita menyekat alat yang digunakan untuk melakukan genosid oleh Israel,” katanya.

Sejak 2023, Malaysia telah melaksanakan larangan terhadap kapal berdaftar di Israel atau kapal menuju ke Israel daripada berlabuh di pelabuhan tempatan.

“Kita perlu melarang kapal yang membawa bahan api ketenteraan dan senjata daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan. Sudah tiba masanya lebih banyak negara mengikuti langkah ini,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Mohamad turut menuduh Israel sengaja mencetuskan ketidakstabilan serantau, termasuk serangan ke atas Iran pada Jun lalu serta serangan terbaharu ke atas Qatar – negara pengantara rundingan gencatan senjata.

“Tindakan ini jelas menunjukkan dahaga Israel kepada peperangan dan keengganannya hidup bersama secara aman dengan mana-mana negara,” katanya.

Kumpulan Hague ditubuhkan selepas Afrika Selatan memfailkan kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2023. Badan itu menyelaras tindakan undang-undang, diplomasi dan ekonomi bagi memastikan Israel mematuhi perintah ICJ serta memperjuangkan penubuhan negara Palestin.

Malaysia kekal sebagai antara anggota paling vokal, sering mendesak tindakan tegas termasuk sekatan ekonomi untuk menghentikan operasi ketenteraan Israel.

Mohamad berkata momentum dunia kini semakin memihak kepada Palestin, apabila banyak negara Barat mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80. - Media Telus

+ - reset