TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat pelajar disyaki rogol pelajar Tingkatan 3 dibenar ambil SPM – Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 12 Okt - Empat pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kes rogol bergilir-gilir terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di sini akan tetap dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 3 November ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata walaupun siasatan polis terhadap kes berkenaan masih dijalankan, hak pelajar untuk menduduki peperiksaan tetap dijamin selaras dengan prinsip pendidikan untuk semua.

“SPM akan tetap diteruskan. Kita pastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan walaupun siasatan masih berjalan,” katanya selepas mengadakan pertemuan khas bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, serta Ketua Polis Negeri, Datuk Zulkairi Mukhtar, di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Bukit Beruang, pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Menurut Fadhlina, mangsa masih ditempatkan di hospital dan belum dipindahkan ke rumah perlindungan, sementara menerima rawatan lanjut serta bimbingan psikologi.

Beliau berkata, tumpuan utama Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini adalah memastikan semua pelajar di sekolah terbabit termasuk calon SPM dan para guru mendapat sokongan emosi dan psikososial sepenuhnya.

“Kaunselor-kaunselor akan diturunkan ke sekolah untuk membantu warga pendidik dan pelajar supaya persiapan mereka menghadapi SPM tidak terganggu.

Sekolah ini merupakan antara yang terbaik di Melaka, jadi kita berikan perhatian penuh,” katanya.

Fadhlina turut menjelaskan bahawa pertemuan bersama pihak berkaitan turut menumpukan kepada langkah intervensi dan pencegahan jangka panjang bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang pada masa hadapan.

“Kita bincangkan bagaimana mahu tangani dan cegah kes seperti ini daripada berulang.

Tindakan undang-undang kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis, manakala KPM akan terus fokus pada aspek sokongan disiplin, emosi dan keselamatan di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar lebih peka terhadap isu jenayah seksual dalam kalangan pelajar dan menghormati undang-undang berkaitan perlindungan maklumat bawah umur.

“Masyarakat perlu faham bahawa ini adalah kes bawah umur. Kita ada undang-undang yang melindungi maklumat dan identiti mereka. Ibu bapa juga perlu beri perhatian dan ambil serius terhadap kes-kes seperti ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior, manakala dua lagi pelajar lain merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.

Kejadian berlaku di dalam sebuah kelas kira-kira jam 2.50 petang minggu lalu, dan semua suspek telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan lanjut.

+ - reset