TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya dah ada maklumat, tunggu masa saja' - Polis Kelantan pantau ketat kegiatan 'counter setting' di sempadan

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 12 Okt - Polis Kelantan memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan mengatur kaunter atau counter setting di sempadan Malaysia-Thailand, selepas menerima maklumat awal berhubung aktiviti itu yang didakwa turut membabitkan pihak berkuasa tertentu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kegiatan berkenaan amat membimbangkan pihaknya, terutama selepas kejadian seumpamanya dikesan berlaku di kawasan berteknologi tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya risau tempat seperti KLIA yang ada CCTV (kamera litar tertutup) ketat pun boleh ada counter setting, apatah lagi pangkalan di tepi Sungai Golok yang panjang dan terbuka.

Saya ada maklumat (mengatur kaunter di sempadan negara) cuma tunggu masa. Saya beri amaran dulu kepada mereka yang buat dan saya tidak teragak-teragak, kami akan tangkap tidak kira anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) ke atau sesiapa sahaja,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, individu yang terbabit dengan kegiatan itu dianggap pengkhianat negara dan kini berada dalam ‘radar’ siasatan polis.

“Bila saya bercakap, saya ada maklumat maksudnya memang ada (mengatur kaunter), insya-Allah kami akan buat tangkapan,” katanya.

Terdahulu, pada 24 Julai lalu, Bernama melaporkan seorang pegawai penguat kuasa ditahan di KLIA Terminal 1 selepas disyaki terbabit dalam kegiatan salah laku counter setting, iaitu kerjasama antara pegawai imigresen dan sindiket bagi membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah.

Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), pegawai berkenaan ditahan oleh Unit Pemantau dan Unit Integriti agensi itu selepas rakaman CCTV menunjukkan tingkah laku mencurigakan di kaunter pemeriksaan masuk.

Sementara itu, Mohd Yusoff turut menjelaskan, sejak larangan rentas sempadan melalui jalan tidak diwartakan di sepanjang Sungai Golok dikuatkuasakan, tahap keselamatan di kawasan terbabit kekal terkawal hasil pemantauan rapi oleh Cawangan Khas.

Beliau berkata, tindakan itu memberi kesan positif apabila jumlah rakyat Malaysia yang cuba masuk ke Thailand secara haram menurun hampir 90 peratus berbanding sebelum penguatkuasaan dilakukan.

“Hasil maklumat daripada rakan sejawatan di selatan Thailand menunjukkan penurunan ketara aktiviti di sempadan, termasuk kira-kira 85 peratus pusat hiburan di Sungai Golok di selatan Thailand yang dilaporkan telah berkurangan, malah banyak premis perniagaan di kawasan itu turut ditutup,” katanya.

Polis Kelantan mula melaksanakan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang, Pasir Mas pada 1 Disember tahun lalu.

Rakyat Malaysia yang melanggar larangan itu boleh ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 kerana ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.

“Sejak larangan rentas sempadan secara haram diumumkan, ia memberi impak besar dalam mengekang kemasukan rakyat kita ke Thailand secara haram, malah kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia turut menunjukkan trend penurunan,” katanya.

Menurut Mohd Yusoff, susulan penguatkuasaan tersebut, polis negeri merekodkan rampasan pelbagai barangan kontraban bernilai RM275,455,058 membabitkan 1,335 kes sejak Januari hingga September tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 62 kes jenayah rentas sempadan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen turut direkodkan dengan 104 individu ditahan kerana cuba memasuki Thailand secara haram.

+ - reset