Berita Berita
'Di mana maruah dan keadilan untuk mangsa?' - Pemuda Pas kecam keputusan benar suspek rogol ambil SPM

KUALA LUMPUR 12 Okt – Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat kecaman daripada Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin, yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak wajar dan mengecewakan.
Menurut beliau, langkah tersebut bukan sahaja menyentuh sensitiviti serta maruah mangsa dan keluarganya, malah memberi gambaran seolah-olah jenayah rogol boleh dimaafkan atas alasan pendidikan.
“Perbuatan rogol itu dosa besar, hina, keji dan tiada peri kemanusiaan. Malangnya, suspek yang merogol dalam kelas dan merakam perbuatan itu pula dibenarkan menduduki peperiksaan SPM.
Di mana maruah dan keadilan untuk mangsa?” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan bahawa empat calon SPM yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka, dibenarkan menduduki peperiksaan yang dijadual bermula 3 November depan.
Beliau menjelaskan bahawa segala tindakan undang-undang diserahkan kepada polis, manakala KPM akan menumpukan kepada aspek disiplin, sokongan ekosistem sekolah dan masa depan pendidikan pelajar terlibat.
Mengulas lanjut, Afnan menegaskan empat suspek berkenaan sepatutnya digantung atau dibuang sekolah sementara siasatan dijalankan.
“Mereka masih boleh menduduki peperiksaan, tetapi bukan di sekolah yang sama.
Kalau mahu jamin hak pendidikan, boleh – namun biarlah di tempat lain seperti pusat tahanan, sekolah juvana atau penjara.
Selagi kes belum selesai, mereka tidak patut bebas ke sekolah seperti tiada apa-apa berlaku,” ujarnya.
Ahli Parlimen Alor Setar itu turut mengingatkan pihak berkuasa dan KPM supaya mengambil pendekatan tegas bagi menjamin keselamatan pelajar lain serta mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Bayangkan perasaan mangsa dan ibu bapanya apabila melihat pelaku masih boleh datang ke sekolah dengan bebas.
Ini soal keselamatan dan maruah anak-anak kita, bukan sekadar soal akademik,” katanya.
Berita berkaitan
October 12, 2025, 9:07 pm
Empat anggota polis positif dadah ditahan di pusat hiburan di Kuantan
October 12, 2025, 5:00 pm
Pinjaman PTPTN pelajar dari keluarga miskin akan ditukar kepada biasiswa tahun depan
October 12, 2025, 4:14 pm
Empat pelajar disyaki rogol pelajar Tingkatan 3 dibenar ambil SPM – Fadhlina
October 12, 2025, 1:26 pm
Tular video suspek cabut lari, polis siasat kejadian curi kabel di Kota Tinggi
October 12, 2025, 1:02 pm
Pensyarah UiTM ditemui lemas di kolam renang resort di Kemaman
October 12, 2025, 12:53 pm
JPJ bongkar taktik 'prebet sapu' tukar cat kenderaan jadi van pelancong di Kuala Lumpur
October 12, 2025, 10:04 am
Influenza: 34 MRSM laksana PDPR, lebih 2,700 pelajar dijangkiti - Asyraf Wajdi
October 12, 2025, 9:53 am