TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan tak terburu-buru perkenal cukai baharu, hapus ketirisan jadi keutamaan – Anwar

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 13 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak akan terburu-buru memperkenalkan cukai baharu selagi pentadbiran negara belum benar-benar bebas daripada ketirisan, rasuah dan kelemahan pengurusan.

Menurut beliau, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperkukuh sistem sedia ada supaya hasil negara tidak terus bocor kepada pihak tidak amanah.

“Sebelum kita fikir soal cukai yang kadang-kadang membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan dalam pentadbiran kita,” katanya pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Anwar menjelaskan, langkah mengekang penyeludupan dan rasuah telah berjaya menjimatkan RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun lalu — bukti bahawa kecekapan pentadbiran mampu meningkatkan hasil negara tanpa menambah beban cukai rakyat.

“Daripada wang yang diselamatkan itu, kita dapat tambah gaji penjawat awam, laksanakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan inisiatif SARA.

Kalau nak berikan lebih kepada rakyat, ia mesti hasil daripada pengurusan yang cekap, bukan dengan menambah cukai,” ujarnya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut merakam penghargaan kepada agensi penguat kuasa seperti SPRM, LHDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas usaha bersepadu mengekang ketirisan hasil negara.

Anwar menegaskan, pengurusan telus dan tatakelola baik adalah kunci kepada keupayaan kerajaan meningkatkan kebajikan rakyat tanpa menambah tekanan fiskal negara.

“Bukan nampak banyak duit, tetapi hasil pengurusan yang cekap,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan tanggungjawab bagi memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Mesti ada tekad untuk peroleh pendapatan yang halal dan jalankan kerja sebaik mungkin. Kita ada satu atau dua tahun lagi, khidmatlah dengan sebaiknya,” pesan beliau.

Anwar turut menegaskan bahawa perjuangan menegakkan integriti tidak boleh digalas oleh agensi penguat kuasa sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

“Jangan harap kepada SPRM atau badan penguasa sahaja. Tanggungjawab mesti ada pada ketua-ketua jabatan dan setiap penjawat awam.

Kalau ketua jabatan tahu dan menjadi pelindung kepada perbuatan salah, kita tak boleh pertahankan ketua jabatan itu,” katanya.

Beliau menutup ucapannya dengan menyeru penjawat awam agar mengekalkan semangat keikhlasan dan moral tinggi dalam menjalankan tanggungjawab untuk rakyat.

“Apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan nasib negara pada masa depan. Mudah-mudahan kita lakukan sebaiknya untuk keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

+ - reset