TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sindiket edar bunga ganja bernilai hampir RM6 juta tumpas, 7 suspek ditahan sekitar Selangor

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 13 Okt - Kegiatan satu sindiket pengedaran bunga ganja yang aktif sejak dua bulan lalu berjaya ditumpaskan dengan penahanan tujuh individu tempatan serta rampasan dadah bernilai hampir RM6 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor antara 3 hingga 5 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata empat serbuan dilaksanakan menerusi Op Sungkai di Subang Jaya, Petaling Jaya dan Selayang, melibatkan lima lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 41 tahun.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Subang Jaya, kami menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas 115 bungkusan mengandungi bunga ganja seberat 112.23 kilogram (kg) dan 43 paket plastik berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 4.72 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Katanya, dalam serbuan kedua, dua lelaki ditahan di tepi jalan di Petaling Jaya dan 12 bungkusan berisi bunga ganja seberat 12.52 kg ditemukan di dalam sebuah Perodua Alza.

“Kami turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah hotel di Selayang serta merampas dua bungkusan bunga ganja seberat 2.1 kg.
“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu parkir sebuah kondominium di Petaling Jaya dan menemui 40 bungkusan bunga ganja seberat 41.56 kg,” katanya.

Secara keseluruhan, 173.14 kg ganja bernilai RM5.9 juta dirampas — jumlah yang boleh digunakan oleh 263,000 penagih, jelas Hussein.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menjadikan rumah sewa sekitar Lembah Klang sebagai stor simpanan dadah sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Suspek kedua berperanan sebagai penerima dan penghantar bekalan dadah dibantu suspek pertama, manakala suspek ketiga hingga kelima ialah rakan sekutu sindiket.
“Suspek keenam pula bertindak sebagai transporter dan suspek ketujuh adalah teman wanitanya,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati empat daripada tujuh suspek memiliki rekod jenayah lampau, termasuk seorang dengan 18 rekod kesalahan jenayah dan dadah.

“Ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah. Mereka direman antara 4 hingga 19 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

JSJN turut menyita aset sindiket bernilai RM129,000, termasuk sebuah Honda HR-V dan Perodua Ativa, di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Hussein berkata, polis kini sedang mengesan baki ahli sindiket, termasuk dalang utama kegiatan tersebut.

“Kejayaan operasi ini hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran, pemilikan atau perlindungan aktiviti dadah,” katanya sambil menggesa orang ramai menyalurkan maklumat ke Hotline JSJN 012-2087222.

+ - reset