Berita Berita
6,000 murid dijangkiti influenza, KPM arah sekolah perketat langkah pencegahan

PUTRAJAYA 13 Okt - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan seramai 6,000 murid di seluruh negara telah dijangkiti wabak influenza setakat ini, dengan beberapa sekolah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata jangkitan itu melibatkan pelbagai negeri dan tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.
“Setakat hujung minggu lalu, lebih kurang 6,000 murid dilaporkan dijangkiti influenza, namun ia tidak berlaku di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah-sekolah berbeza di beberapa negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, KPM telah mengedarkan garis panduan pengurusan penyakit berjangkit kepada semua sekolah, termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej matrikulasi dan institusi vokasional bagi memastikan langkah pencegahan segera diambil.
“Kita sudah berikan panduan kepada sekolah agar menggalakkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan aktiviti berkumpulan buat sementara waktu.
“Sekolah juga diminta merujuk kepada PKD masing-masing jika berlaku peningkatan kes,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal sebagai rujukan utama dalam menentukan tindakan lanjut, termasuk penutupan sekolah.
“Kalau KKM atau Pejabat Kesihatan Negeri arahkan sekolah ditutup, kita akan akur serta-merta,” ujarnya.
Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula pada 3 November ini, Mohd Azam memberi jaminan bahawa KPM telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan pelaksanaannya.
“Saya telah arahkan pegawai di Lembaga Peperiksaan supaya bersedia dengan cabaran ini. Kita sudah ada pengalaman semasa pandemik Covid-19, jadi kita tahu bagaimana menyesuaikan pelaksanaan peperiksaan jika keadaan memerlukan,” jelasnya.
KPM turut mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khas untuk menguruskan calon yang sakit, termasuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan di hospital atau lokasi alternatif dengan pemantauan rasmi.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua sekolah agar lebih peka terhadap simptom influenza dalam kalangan murid dan guru, serta mengambil tindakan segera jika terdapat tanda-tanda penularan.
“Sekiranya ada murid bergejala, pihak sekolah boleh benarkan mereka berehat atau mendapatkan rawatan. Tidak semua kes perlu dibawa kepada penutupan sekolah, ada yang cukup dengan cuti sakit individu,” katanya.
Dr Mohd Azam menegaskan, KPM tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan murid, yang dianggap sebagai sebahagian daripada usaha memastikan sekolah kekal selamat dan kondusif.
“Keselamatan dan kesejahteraan murid adalah keutamaan kita. Kami akan terus pantau situasi ini bersama pihak kesihatan,” tambahnya.
Berita berkaitan
October 13, 2025, 9:53 pm
Tiga remaja berumur 13 hingga 15 tahun ditahan curi tabung surau di Segamat
October 13, 2025, 9:40 pm
Lelaki ditahan baling tin arak, tumbuk muka polis lepas langgar SUV di Klang
October 13, 2025, 8:27 pm
Lelaki ditahan mengamuk pegang pisau pemotong daging di Ijok
October 13, 2025, 7:32 pm
Sindiket edar bunga ganja bernilai hampir RM6 juta tumpas, 7 suspek ditahan sekitar Selangor
October 13, 2025, 5:55 pm
KPM tetap enggan guna rotan cara mendidik, fokus bentuk akhlak murid dengan adab
October 13, 2025, 5:16 pm
Pengetua perlu main peranan, KPM arah lakukan rondaan setiap pagi pastikan keselamatan murid
October 13, 2025, 3:45 pm
Dr Zaliha nafi dakwaan Annuar Musa, tegas tak pernah berbohong di Parlimen
October 13, 2025, 2:18 pm
Empat pelajar disyaki rogol rakan dalam kelas di Melaka dibuang sekolah serta-merta – KPM
October 13, 2025, 2:03 pm