TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua pelajar Tingkatan satu maut motosikal dinaiki rempuh MPV di Besut

By
|
Kongsi
image

BESUT 14 Okt - Dua pelajar Tingkatan Satu maut selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Bukit Kluang, di sini, pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli dan Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz, masing-masing berusia 13 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang salah seorang mangsa dipercayai melanggar bahagian hadapan kereta Nissan Serena dipandu seorang wanita.

“Siasatan awal mendapati, pemandu MPV berkenaan keluar dari simpang untuk membelok ke kanan menuju ke tempat kerja di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum dirempuh motosikal dari arah Bukit Kluang menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua pelajar dari Kampung Air Tawar meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azamuddin turut menasihatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen, kerana ia boleh membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain.

“Polis juga mengingatkan agar pemakaian topi keledar diberi perhatian serius, terutama dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Sidiq Omar di talian 011-3170 2709 bagi membantu siasatan.

 

+ - reset