TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPT semak semula kelayakan kelas pertama untuk pengecualian bayaran balik PTPTN

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 14 Okt - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini sedang menyemak semula kriteria kelayakan penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata langkah itu penting bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak menerima manfaat berkenaan, khususnya dalam memastikan keadilan pelaksanaan dasar tersebut.

“Selama ini mungkin kita mengambil pendekatan longgar — mana-mana universiti, termasuk Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), asalkan pelajar memperoleh Kelas Pertama, maka kita terima.

“Namun kerajaan menyedari ada perkara yang perlu disemak semula, termasuk menilai pencapaian sebenar pelajar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025, di sini, hari ini.

Menurut Zambry, terdapat 392 IPTS di seluruh negara yang mempunyai kaedah penilaian berbeza, manakala bagi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), kawalan berada sepenuhnya di bawah KPT.

“Dalam konteks IPTA, kita dapat memastikan penilaian dibuat dengan standard yang konsisten,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai larangan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang culas, beliau berkata senarai nama individu terlibat akan diumumkan dalam masa terdekat.

Zambry menegaskan, sekatan itu hanya akan dikenakan terhadap peminjam berkemampuan tetapi gagal membuat sebarang bayaran, bukan terhadap mereka yang benar-benar menghadapi kesukaran kewangan.

“Kerajaan tidak berhasrat menyusahkan mana-mana pihak. Sekatan ini hanya dikenakan kepada mereka yang sudah tujuh, 10, malah 15 tahun langsung tidak membuat bayaran, walaupun mempunyai pendapatan tinggi atau menetap di luar negara,” katanya.

Beliau turut menggesa peminjam yang menghadapi kesempitan kewangan supaya berunding dengan PTPTN bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Saya sudah arahkan pihak PTPTN membuka ruang perbincangan dengan sifat keihsanan. Kita faham ada yang belum mempunyai pekerjaan tetap atau pendapatan mencukupi. Mereka boleh datang berbincang dan menyelesaikan secara berperingkat,” katanya.

Zambry menegaskan, kerajaan mahu dasar PTPTN dilaksana dengan pendekatan manusiawi dan inklusif, yang memberi peluang kepada peminjam menunaikan tanggungjawab mereka tanpa terbeban.

 

+ - reset