TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat pengaruh permainan video, media sosial dalam kes bunuh pelajar di Bandar Utama

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 16 Okt - Pengaruh permainan video dan kandungan media sosial tertentu dipercayai antara faktor yang mendorong tindakan kejam seorang pelajar Tingkatan Satu membunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama, dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti platform media sosial sebenar yang memberikan pengaruh kepada remaja berusia 14 tahun itu.

“Dalam kenyataan semalam, kita nyatakan suspek terpengaruh dengan media sosial. Media sosial ini luas, jadi kita beri ruang kepada polis untuk tentukan medium mana yang benar-benar beri pengaruh kepadanya.

“Permainan video berkemungkinan salah satunya,” katanya ketika ditemui selepas program walkabout bersama usahawan Little India sempena Deepavali, di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan suspek memakai sarung tangan dipercayai sebahagian daripada persiapan awal sebelum kejadian, dan polis kini meneliti semua aspek termasuk motif dan pengaruh luar yang mungkin mendorong perbuatan itu.

Sebelum ini, tindakan suspek yang bersahaja selepas melakukan pembunuhan mencetuskan perbincangan luas di media sosial.

Turut menjadi perhatian ialah nota yang ditulis suspek mengandungi istilah seperti “Zero Day” — dipercayai merujuk kepada hari serangan — serta NPC (Non Player Character), istilah biasa dalam dunia permainan video.

Shazeli turut memaklumkan bahawa dua lagi rakan suspek telah direkodkan keterangan, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang diambil kenyataan setakat ini ialah 59 orang.

“Ada lagi, kita akan berusaha dapatkan keterangan yang lengkap supaya satu dapatan yang konklusif dan membantu polis beri cadangan bernas kepada pihak Pendakwa Raya,” katanya. 

+ - reset