Berita Berita
'Laman web lucah berleluasa, bahan politik boleh sekat pula' - Sanusi gesa MCMC sekat terus kandungan tak bermoral

ALOR SETAR 16 Okt - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas menyekat kandungan tidak bermoral di media sosial yang semakin mempengaruhi golongan remaja dan pelajar sekolah.
Beliau berkata, peningkatan kes jenayah seksual dalam kalangan remaja amat membimbangkan dan berpunca daripada pendedahan bebas terhadap bahan lucah serta budaya songsang menerusi internet tanpa kawalan.
“MCMC mempunyai kuasa untuk mengawal platform seperti TikTok dan Facebook dengan menurunkan atau menyekat bahan yang boleh menimbulkan rangsangan serta budaya songsang yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai masyarakat timur.
“Saya yakin 100 peratus pengaruh ini bukan datang daripada ajaran orang tua-tua, tetapi daripada media sosial yang terlalu bebas, pengaruh luar yang masuk melalui skrin telefon bimbit tanpa kawalan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 1,000 penerima di Wisma Darul Aman, pada Khamis.
Sanusi berkata, langkah pencegahan perlu diambil segera kerana rawatan selepas sesuatu masalah berlaku jauh lebih sukar ditangani.
“China boleh kawal rakyatnya, WhatsApp dan Facebook tiada di sana. Mereka guna WeChat sebab negara mereka ada kuasa. Sama seperti Malaysia, kita juga boleh kawal laman sesawang dan pengaruh media internet melalui agensi-agensi kerajaan.
“Laman lucah bebas berleluasa, tapi bahan politik pula boleh disekat. Mengapa perkara yang lebih penting seperti ini tidak diambil tindakan? Mungkin sebab pengaruh liberalisme yang melonggarkan semua perkara,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan perlu bertegas menapis bahan berunsur lucah, iklan tidak bermoral dan pengaruh luar yang bercanggah dengan nilai Islam kerana masyarakat belum mampu menapisnya sendiri.
“Lebih baik kita halang sebelum ia berlarutan. Jangan biar iklan ubat kuat dan bahan tidak senonoh disiarkan secara terbuka. ALLAH SWT beri kita ingatan untuk ambil pengajaran — jika tak disekat, masyarakat akan rosak daripada bangku sekolah lagi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Sanusi turut menekankan keperluan memasukkan elemen keagamaan termasuk konsep dosa dan pahala dalam sistem pendidikan, termasuk subjek Pendidikan Jasmani.
“Senaman pun perlu ada nilai dosa dan pahala walaupun mahu sihat. Tuhan sudah beri panduan hidup, tapi kita abaikan kerana ikut nafsu dan pasaran kapitalis. Kalau tak dikawal, rosaklah anak bangsa,” katanya.
Beliau juga mempertahankan tindakan guru menggunakan hukuman ringan seperti rotan dalam mendidik pelajar, sambil menyifatkan larangan terhadap amalan itu sebagai punca kepada kelemahan disiplin pelajar masa kini.
“Dulu saya pun pernah kena rotan, tak ada masalah pun. Sekarang cikgu pula disaman bila cuba mendidik anak bangsa. Sepatutnya jasa mereka dihargai, bukan dihukum,” katanya.
Sanusi menegaskan bahawa isu moral dan pengaruh negatif media sosial perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi menyelamatkan generasi muda daripada keruntuhan akhlak.
“Kerajaan perlu beri perhatian serius. Kita (kerajaan negeri) tiada kuasa di peringkat Persekutuan. Kalau saya ada kuasa, saya rimbuk habis,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan utama dalam membentuk akhlak anak-anak sejak dari rumah.
“Beri didikan dan pemerhatian sebagai ibu bapa. Tanamkan rasa harga diri dan maruah supaya mereka tidak terjebak dengan perbuatan yang menjejaskan masa depan,” katanya.
Berita berkaitan
October 16, 2025, 9:06 pm
KDN lupus 5.5 tan alat mainan seks di Selangor
October 16, 2025, 7:09 pm
Ibu mangsa dedah anak ditikam lebih 200 kali, bukan 50 dalam tragedi bunuh di sekolah Bandar Utama
October 16, 2025, 6:04 pm
Anugerah Star Icon 2025 angkat sumbangan tokoh tempatan, antarabangsa
October 16, 2025, 4:59 pm
Kes influenza di IPT masih terkawal – Mustapha
October 16, 2025, 4:49 pm
Kabinet bincang kes rogol dan tikam pelajar dalam mesyuarat esok
October 16, 2025, 4:35 pm
Murid perempuan cedera dipukul rakan sekolah di Sipitang
October 16, 2025, 4:30 pm
JPN Kedah siasat kes rogol dan video lucah melibatkan pelajar sekolah
October 16, 2025, 4:22 pm