TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes influenza di IPT masih terkawal – Mustapha

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 16 Okt. – Kes jangkitan influenza yang melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara masih berada pada tahap terkawal, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima beberapa laporan berkaitan pelajar dijangkiti wabak itu, namun langkah kawalan dan rawatan telah dilaksanakan segera di semua kampus terlibat.

“Saya difahamkan memang ada kes influenza dilaporkan di kampus, tetapi semuanya masih terkawal dan tidak membabitkan kes serius.

“Walau bagaimanapun, KPT tidak mengambil mudah perkara ini dan akan terus memantau perkembangan semasa penularan wabak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Bahasa IPT 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, hari ini.

Menurut beliau, KPT juga berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan maklumat serta arahan terkini berhubung penularan influenza di seluruh negara.

Sebelum ini, KKM memaklumkan bahawa sebanyak 352 kes jangkitan influenza direkodkan di sekolah (65.8 peratus), diikuti tadika (96 kes atau 17.9 peratus) dan IPT (35 kes atau 6.5 peratus) berdasarkan jumlah kumulatif dari Minggu Epidemologi (ME) 1 hingga ME 41 tahun 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turut menjelaskan bahawa jumlah kluster jangkitan di IPT meningkat daripada lapan pada ME 39 kepada 111 pada ME 40, sebelum mencecah 202 kluster pada ME 41.

Bagaimanapun, trend itu menunjukkan penurunan apabila ME 42 yang bermula pada 12 Oktober lalu hanya merekodkan 56 kluster.

Majlis penutup festival berkenaan turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, sempena Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat IPT 2025.

+ - reset