TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kabinet bincang kes rogol dan tikam pelajar dalam mesyuarat esok

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Kabinet akan membincangkan secara terperinci esok isu membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk kes rogol pelajar di Melaka dan kes tikaman maut pelajar di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu akan menjadi agenda utama dalam mesyuarat Kabinet susulan siri insiden serius yang berlaku di sekolah sejak kebelakangan ini.

“Esok kita akan bincang perkara ini dalam Kabinet dengan lebih terperinci. Saya sudah berbincang secara ringkas dengan menteri dan beberapa pihak sebentar tadi.
“Kita akan buat keputusan esok,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Kementerian Pendidikan menjadi tumpuan sejak dua minggu lalu selepas tiga kes serius dilaporkan – dua kes rogol di Melaka dan Kedah serta satu kes pembunuhan pelajar di Petaling Jaya.

Hari ini, dua pelajar lelaki berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Alor Gajah atas tiga pertuduhan termasuk merogol berkumpulan, melakukan seks bertentangan dengan aturan semula jadi dan serangan seksual fizikal.

Pada pagi yang sama, empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah ditahan di Kedah kerana disyaki merogol berkumpulan seorang pelajar lain serta menyebarkan rakaman bogel mangsa secara dalam talian.

Siasatan awal mendapati perbuatan itu berlaku antara Mei hingga Ogos lalu di beberapa bilik darjah sekolah berkenaan.

Sementara itu, pada Selasa lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam rakan sekelas lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama.

Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

+ - reset