TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mula dari pra sekolah, subjek baharu Pendidikan Karakter jadi tunjang kurikulum baharu sekolah mulai 2027 - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Okt - Mata pelajaran Pendidikan Karakter akan menjadi teras utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027, yang bakal diperkenalkan mulai tahun depan, bagi memperkasa pembangunan sahsiah, nilai dan peribadi murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam fasa persiapan akhir pelaksanaan kurikulum baharu itu yang turut mengekalkan penekanan terhadap aspek akhlak dan moral yang sedia ada.

“Antara perkara paling penting dalam kurikulum baharu ini adalah Pendidikan Karakter.

"Bermula tahun depan, ia akan dilaksanakan terlebih dahulu di peringkat pra sekolah sebelum diperluas, dan akan menjadi tunjang utama dalam pembinaan sahsiah murid,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN–Temerloh) mengenai usaha KPM menilai semula kurikulum sedia ada supaya lebih menumpukan kepada pembentukan jati diri, akhlak, iman dan integriti bagi menangani masalah keruntuhan moral dalam kalangan murid.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) berhubung langkah menangani isu kesihatan mental murid, Fadhlina memaklumkan bahawa KPM menjalankan saringan minda sihat dua kali setahun bagi mengesan tanda awal kemurungan dan tekanan.

“Jika ada tanda murid memerlukan bantuan, mereka akan dirujuk kepada pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan (KKM) untuk intervensi lanjut.

“Intervensi dengan pakar psikiatri sebenarnya sudah dilaksanakan, tetapi dalam konteks reformasi serta-merta ini, kita akan memperkukuh latihan, program dan intervensi segera.

“Namun, perkara ini juga perlu didukung oleh ibu bapa kerana peranan mereka amat penting dalam mendidik dan memantau anak-anak di rumah,” katanya.

+ - reset