TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita, anak ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Juru, polis tahan suami bantu siasatan

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT MERTAJAM 19 Okt - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat isteri dan anak perempuannya yang dipercayai dibunuh di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan lelaki berusia 57 tahun itu bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mayat wanita berusia 51 tahun bersama anak perempuannya berusia 11 tahunditemukan oleh suami wanita itu kira-kira jam 7.30 malam di rumah sewa mereka.

Difahamkan, mayat wanita berkenaan ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus, manakala anaknya pula ditemui meniarap dan berlumuran darah di tingkat atasrumah terbabit.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dibedah siasat.

Siasatan awal mendapati, mangsa yang juga peniaga kuih berasal dari Jeneri, Kedah, dan baru berpindah ke Juru mengikut suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Difahamkan, jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jeneri, Kedah sebaik proses bedah siasat selesai.

+ - reset