Berita Berita
36 mangsa tragedi Putra Heights saman Petronas Gas, 4 pihak lain, Tommy Thomas dilantik peguam utama

SUBANG JAYA 18 Okt - Enam bulan selepas insiden letupan dan kebakaran yang menggemparkan Taman Putra Harmoni, Putra Heights pada 1 April lalu, seramai 36 penduduk kawasan itu memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap lima pihak termasuk Petronas Gas Berhad.
Wakil plaintif, Loh Poh Heng, berkata tindakan undang-undang itu difailkan terhadap Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Kerajaan Malaysia.
Katanya, penduduk melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai peguam utama yang mewakili mereka dalam tuntutan berkenaan.
“Ini bukan sekadar tuntutan undang-undang, tetapi satu rayuan untuk keadilan dan pengiktirafan terhadap penderitaan kami. Kami mahu suara kami didengari,” katanya.
Mengulas lanjut, Poh Heng berkata tragedi itu dipercayai berpunca daripada kecuaian manusia yang boleh dielakkan sekiranya langkah keselamatan mencukupi diambil.
“Kami percaya tragedi ini berpunca daripada kecuaian manusia dan sepatutnya boleh dielakkan. Talian penghantaran gas milik Petronas Gas Berhad diletakkan terlalu hampir dengan rumah kami, namun langkah keselamatan tidak mencukupi.
“Enam bulan selepas kejadian, ramai mangsa masih tidak mempunyai tempat tinggal kekal dan bergantung kepada bantuan keluarga atau tinggal di penempatan sementara.
“Kebakaran itu marak selama lebih tujuh jam sebelum berjaya dipadamkan. Rumah kami musnah, kehidupan porak-peranda, dan ramai penduduk mengalami kecederaan serius termasuk melecur teruk serta trauma emosi yang masih dirasai hingga kini.
“Parut kami mungkin tidak akan pernah hilang tetapi melalui tindakan sivil ini, suara kami akan didengari,” dakwanya pada satu sidang media di kawasan perumahan tersebut pada Sabtu.
Beliau turut mendakwa, penduduk tidak diberikan maklumat jelas selepas insiden berlaku dan proses siasatan dijalankan secara tidak telus.
“Selepas letupan berlaku, kami dibiarkan tanpa maklumat jelas. Siasatan dijalankan secara tidak telus dan kerja pembaikan dilakukan tanpa penjelasan kepada penduduk yang kediamannya musnah,” dakwanya.
Menurutnya, 36 penduduk menuntut pampasan atas kerugian termasuk kehilangan rumah, kecederaan, masalah kesihatan serta tekanan emosi yang dialami. Mereka juga menuntut keadilan dan ketelusan daripada pihak berkuasa.
“Kami berharap tiada komuniti lain perlu melalui pengalaman sama pada masa hadapan,” katanya.
Insiden letupan gas yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi pada 1 April, iaitu hari kedua Aidilfitri, menjejaskan 529 penduduk daripada 118 keluarga, selain mengakibatkan kerosakan kepada 235 premis termasuk rumah dan kedai, dengan 87 daripadanya musnah sepenuhnya.
Berita berkaitan
October 18, 2025, 3:27 pm
Perpaduan dan kebersamaan teras kekuatan negara – Anwar
October 18, 2025, 2:47 pm
Malaysia jadi tuan tumah GSF 2025, beri tumpuan peranan sektor swasta pacu pembangunan tenaga kerja
October 18, 2025, 1:17 pm
102 sekolah di KL, Selangor laksana PdPR dan WFH sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
October 18, 2025, 11:36 am
Tok siak ditahan disyaki pegang kemaluan remaja 15 tahun ketika tumpang kereta di Bukit Sentosa
October 18, 2025, 5:01 am
'Lebih baik kami ambil jalan masing-masing' - Rafizi tak nampak ruang untuk kembali ke pimpinan PKR
October 17, 2025, 7:33 pm
Bapa, dua anak antara enam dicekup punggah 509kg daun ketum di Kuantan
October 17, 2025, 7:18 pm
Pelajar UM maut terjatuh dari tingkat 3 kolej kediaman
October 17, 2025, 4:05 pm