TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Biar miskin harta, jangan miskin ilmu'— Kisah Sharvin, anak tunggal bangkit dari kepayahan demi ibu tercinta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Okt - Di sebalik kesederhanaan dan air mata pengorbanan, kisah seorang anak muda bernama Sharvinmembuktikan bahawa kemiskinan bukan halangan untuk berjaya — asalkan tidak miskin ilmu dan semangat.

Anak tunggal ini dibesarkan hanya oleh seorang ibu tunggal selepas mereka ditinggalkan sejak dia masih bayi. Kehidupan mereka serba kekurangan, namun kasih sayang dan keazaman si ibu menjadi sumber kekuatan utama dalam menempuh hari-hari mencabar.

Setiap pagi, ibunya menaiki motosikal dari Dengkil ke Shah Alam untuk bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Pernah juga beliau terpaksa mengambil kerja kedua sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel dari 6 petang hingga 1 pagi semata-mata untuk menampung kehidupan mereka berdua.

Meskipun sering keletihan dan jatuh sakit, si ibu tidak pernah merungut atau mendapatkan rawatan — demi menjimatkan wang untuk anak kesayangan.

Selepas tamat SPM, Sharvin mengambil keputusan bekerja sambilan di sebuah kedai serbaneka dengan bayaran RM7 sejam, dan menyalurkan gaji itu untuk membeli pakaian, makanan serta menampung perbelanjaan rumah.

Namun, dalam kesempitan hidup itu, pesanan ibunya sentiasa bergema di hati:

“Biar miskin harta, jangan miskin ilmu.”

Pesanan itulah yang membakar semangat Sharvin untuk belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya mendapat biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran di universiti.

Selepas tamat pengajian, Sharvin menyedari segulung ijazah semata-mata belum tentu menjamin masa depan yang cerah. Minatnya dalam bidang semikonduktor mendorong beliau menyertai program upskilling selama empat bulan di Sidec, di bawah inisiatif ASEM, yang memberi pendedahan terhadap kemahiran praktikal dan kepimpinan yang dicari majikan antarabangsa.

Sebagai penasihat dan mentor di Sidec, penulis berkongsi bahawa para peserta program seperti Sharvin berpeluang memperoleh kerjaya bergaji antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan, sekaligus membuka jalan kepada kehidupan lebih baik.

Sempena Deepavali tahun ini, Sharvin akhirnya menunaikan janji kepada insan paling disayanginya:

“Amma, I made it. Sekarang giliran saya pula untuk jaga Amma. Maaf sebab banyak menyusahkan Amma dulu. Thank you and I love you.”

Si ibu tidak meminta apa-apa balasan, cukuplah anak tunggalnya itu menjadi insan berjaya dan membanggakan keluarga.

Kisah Sharvin adalah cerminan makna sebenar Deepavali — kemenangan cahaya ilmu dan kasih terhadap kegelapan kesusahan.

Semoga sambutan Deepavali tahun ini membawa sinar kegembiraan buat semua yang meraikannya bersama keluarga dan insan tersayang. 

+ - reset