Berita Berita
Kecaman melampau dalam isu rundingan damai Gaza tidak bantu selesaikan konflik - Anwar

KUALA LUMPUR 19 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir pihak yang melemparkan pandangan keterlaluan berhubung rundingan gencatan senjata antara Hamas dan Israel, sambil menegaskan kecaman berlebihan tidak akan membantu ke arah penyelesaian damai di Gaza.
Menurut beliau, meskipun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, namun sebarang proses rundingan tetap perlu diberi ruang kerana ia telah berjaya menghentikan serangan terhadap Gaza.
“Saya beritahu apa kerunsingan saya, kita tak setuju semua penyelesaian 20 Perkara (dicadangkan Presiden Donald Trump), tapi saya dengar juga (pandangan) lain termasuk Hamas yang berunding dengan Israel.
“Jadi yang kita nak lebih daripada Hamas itu kenapa? Orang di situ termasuk Hamas yang berunding, sikap kita pula nak ajar lagi, sedangkan Hamas ini yang bertempur dengan ribuan sudah mati.
“Kita pula cakap jangan berunding dengan AS dalam rundingan yang turut disertai Mesir dan Qatar,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka, hari ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman sosial RTM.
Anwar berhubung dengan Presiden Mesir
Perdana Menteri turut berkongsi bahawa beliau berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, semalam bagi menzahirkan penghargaan terhadap usaha negara itu bersama negara Arab lain termasuk Turkiye dalam memastikan serangan Israel ke atas Gaza dapat dihentikan.
“Saya beritahu apa kerunsingan saya… sekurang-kurangnya Mesir dan negara Arab lain berusaha untuk hentikan serangan Israel ke atas Gaza,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa sekurang-kurangnya rundingan yang dijalankan oleh Mesir dan rakan sekutu serantau berjaya mencapai hasil positif apabila serangan berterusan Israel dapat dihentikan.
Beliau berkata, dalam perbualan itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan Malaysia mengenai kemungkinan Israel akan melancarkan serangan semula terhadap Gaza.
“Sisi memberitahu, Mesir akan adakan satu persidangan pada November depan dan beliau akan ambil perkara yang kita bangkitkan yang tak termasuk dalam 20 perkara (cadangan Trump).
“Ketika ini, trak bawa makanan sudah dibenarkan masuk, kita juga minta (Mesir membuka) laluan untuk sukarelawan kita masuk dan Sisi memberikan jaminan itu,” katanya.
Anwar menegaskan, Malaysia akan terus memainkan peranan dalam menyokong usaha damai dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, selain menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengutamakan penyelesaian aman berasaskan keadilan serta menghormati hak asasi rakyat Gaza.
Berita berkaitan
October 19, 2025, 4:56 pm
Lelaki potong giliran ketika isi minyak cedera dipukul pemandu lori di Ampang
October 19, 2025, 1:51 pm
Wanita, anak ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Juru, polis tahan suami bantu siasatan
October 19, 2025, 9:13 am
Naib juara AF4, Lotter meninggal dunia akibat penyakit tiroid
October 19, 2025, 7:59 am
Ibu, anak ditemui mati dipercayai dibunuh dalam rumah di Juru
October 18, 2025, 3:56 pm
36 mangsa tragedi Putra Heights saman Petronas Gas, 4 pihak lain, Tommy Thomas dilantik peguam utama
October 18, 2025, 3:27 pm
Perpaduan dan kebersamaan teras kekuatan negara – Anwar
October 18, 2025, 2:47 pm