Berita Berita
'Walau sedap hentam KPM, tapi itu bukan penyelesaiannya' - Rafizi minta ibu bapa cermin diri juga dalam mendidik anak

KUALA LUMPUR 19 Okt - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menegaskan tindakan menuding jari kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan menterinya berhubung insiden tragik di sekolah baru-baru ini tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya seluruh masyarakat perlu memikul tanggungjawab bersama.
Menurutnya, isu keselamatan pelajar dan gejala sosial di sekolah tidak boleh diletakkan di bahu KPM semata-mata, sebaliknya bermula daripada asas pembentukan keluarga dan cara ibu bapa membesarkan anak-anak.
“Saya fikir menghentam KPM dan Menteri Pendidikan semata-mata, walaupun sedap untuk melepaskan geram sekarang, ia mungkin bukan penyelesaian.
“Kerana ini adalah isu masyarakat. Setiap ahli politik adalah ibu bapa. Setiap guru juga ibu bapa. Jadi, sebelum kita sampai ke soal macam mana perkara ini berlaku di sekolah, mungkin apa yang paling sesuai ialah setiap ibu bapa ini – kita – kena cermin diri kita dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam episod terbaru audio siar “Yang Berhenti Menteri” malam tadi, sebagai mengulas beberapa kejadian tragik di sekolah termasuk kes pelajar perempuan maut ditikam dan dua lagi menjadi mangsa rogol beramai-ramai, yang mencetuskan kebimbangan awam mengenai tahap keselamatan pelajar dan kesihatan mental remaja.
Rafizi berkata, ibu bapa perlu menilai kembali sejauh mana mereka mengenali dan memahami anak sendiri, termasuk pengaruh sikap dan tindakan mereka terhadap pembentukan peribadi anak-anak.
“Sebab kita kena tanya berapa banyak kita habiskan masa dengan anak-anak kita? Berapa banyak sebenarnya perangai kita, sikap kita, keterlanjuran kita beri pengaruh kepada anak-anak tanpa kita sedar.
“Berapa banyak kita tahu tentang apa yang berlaku dengan anak-anak kita? Itu kelemahan yang saya rasa perlu diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
‘Masyarakat sekarang lebih kasar’
Bekas Menteri Ekonomi itu turut menegaskan bahawa perubahan dalam budaya masyarakat yang semakin kasar dan cepat menghukum turut menjadi punca kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan pelajar.
“Ia sebenarnya jauh lebih rumit dan saya pada ketika ini menunggu lebih banyak maklumat, dan saya nasihat diri saya agar jangan cepat melatah, menghukum dan membuat kesimpulan.
“Sebab isu ini lebih rumit daripada isu ekonomi. Ia lambang dan terjemahan kita sebagai sebuah masyarakat.
“Betul yang masyarakat kita sekarang lebih kasar, lebih mudah menghukum, menuduh dan percaya pada sesuatu perkara sebelum ia disemak,” katanya lagi.
Rafizi juga menolak cadangan agar kerajaan segera menyekat akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umurtanpa asas data kukuh, sambil menyifatkan langkah itu bersifat reaktif dan mungkin tidak berkesan.
“Contohnya, kalau kerajaan kata tindak balas (susulan) kejadian yang berlaku ini ialah dengan memperkenalkan eKYC (proses elektronik Kenali Pelanggan Anda) agar kanak-kanak bawah 13 tahun tiada akses kepada platform media sosial, maksudnya hipotesisnya ialah kanak-kanak jadi ganas sebab media sosial.
“Adakah kita sudah ada data untuk (keputusan) itu?” soalnya.
Katanya lagi, dunia kini saling berhubung dan usaha untuk menghadkan keterhubungan digital tanpa menangani akar masalah masyarakat hanya akan gagal.
“Langkah sedemikian bertentangan dengan hakikat dunia masa kini yang saling berhubung, dan cubaan untuk mengehadkan keterhubungan itu mungkin akan gagal,” katanya.
Berita berkaitan
October 19, 2025, 4:56 pm
Lelaki potong giliran ketika isi minyak cedera dipukul pemandu lori di Ampang
October 19, 2025, 2:34 pm
Kecaman melampau dalam isu rundingan damai Gaza tidak bantu selesaikan konflik - Anwar
October 19, 2025, 1:51 pm
Wanita, anak ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Juru, polis tahan suami bantu siasatan
October 19, 2025, 9:13 am
Naib juara AF4, Lotter meninggal dunia akibat penyakit tiroid
October 19, 2025, 7:59 am
Ibu, anak ditemui mati dipercayai dibunuh dalam rumah di Juru
October 18, 2025, 3:56 pm
36 mangsa tragedi Putra Heights saman Petronas Gas, 4 pihak lain, Tommy Thomas dilantik peguam utama
October 18, 2025, 3:27 pm
Perpaduan dan kebersamaan teras kekuatan negara – Anwar
October 18, 2025, 2:47 pm