Berita Viral
Terpaksa dialisis buah pinggang gara-gara produk pelangsing
KUALA LUMPUR 4 Mac - Ambil jalan pintas dengan memakan produk kurus namun akhirnya memakan diri hingga terpaksa melakukan dialisis buah pinggang.
Perkara itu dikongsikan pakar dietitik dan penceramah nutrisi, Jazeera Julaili di platform media sosial X yang mendedahkan kisah pesakitnya yang menginginkan hasil yang cepat itu, sebaliknya mengalami pelbagai masalah kesihatan teruk pada usia 30-an.
Beliau berkata, pesakitnya mula mengambil produk pelangsing sejak dua tahun lalu sehingga berjaya menghilangkan berat sekitar 10 hingga 20 kilogram (KG).
"Namun sehinggalah tahun ini, pesakit merasakan badannya lemah dan dia pergi membuat pemeriksaan kesihatan.
"Dia juga melakukan ujian darah bagi mengetahui fungsi buah pinggang iaitu ujian Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) dan mendapati organ itu hanya berfungsi 40 peratus, tetapi enggan mempercayai hasil ujian itu," katanya.
Jelasnya, bermula sejak itu, kesihatan pesakitnya menjadi tidak menentu, dengan sakit dan sembuh bersilih ganti sehingga dia dikejarkan ke unit kecemasan selepas tidak sedarkan diri.
"Apabila keputusan darahnya diperoleh, kadar eGFR semakin merosot dan tinggal tiga (peratus) dan jumlah kreatinin dalam darah pula direkodkan sebanyak 1,700," katanya.
Jazeera berkata, komplikasi kesihatan yang merosot dalam tempoh singkat itu disebabkan penggunaan produk penurunan berat badan dan keadaan itu menyebabkan pesakit mungkin memerlukan sokongan dialisis yang kerap demi meneruskan hayatnya.
Menerusi catatan itu juga, beliau menggesa orang ramai menghindar daripada mencuba produk penurunan berat badan yang menjanjikan hasil pantas.
"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa; risiko terletak di tangan anda sendiri. Jika anda mahu mencuba, teruskan. Tetapi lebih baik beringat daripada menyesal. Dapatkan nasihat pakar," katanya.
Berita berkaitan
June 11, 2026, 2:28 pm
'Kita nak beli satu pun susah' - Netizen panas hati warga asing didakwa borong minyak paket
June 10, 2026, 6:27 pm
Wanita dipeluk, mulut ditekup sebelum dicabul di kawasan rumah di Setia Alam
June 5, 2026, 5:49 pm
'Baju pun nak curi?' - Dua wanita tular rembat baju orang di kedai dobi Johor Bahru
June 3, 2026, 6:02 pm
