TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kubur terhakis, jenazah hanyut akibat banjir di Kuala Trong

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT GANTANG 24 Okt - Banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama pada Khamis bukan sahaja menenggelamkan kawasan penempatan, malah turut menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan, Kuala Trong, apabila beberapa kubur dilaporkan terhakis dan jenazah hanyut dibawa arus deras.

Menurut laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata insiden itu merupakan antara kesan paling menyedihkan dalam bencana kali ini kerana kawasan tersebut menjadi tempat persemadian penduduk tempatan.

“Bila saya tengok gambar yang dikongsi, memang menyayat hati. Batu nisan tercabut, ada keranda (papan lahad) yang sudah terkeluar.

“Kita difahamkan ada mayat yang hanyut, tetapi orang kampung sudah ambil untuk dikebumikan semula,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Simpang, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, tindakan segera akan diambil sebaik air surut termasuk menyewa jentera bagi menolak kembali tanah yang runtuh dan menutup semula kawasan perkuburan bagi mengelak gangguan lanjut.

“Ini tindakan segera. Saya anggap perkara ini darurat dan kalau perlu, saya guna dana sendiri untuk kerja menutup semula kawasan itu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin turut memaklumkan bahawa mangsa banjir berisiko tinggi termasuk ibu berpantang, warga emas dan pesakit kronik akan ditempatkan sementara di hotel bagi menjamin keselesaan serta keselamatan mereka.

“Ada yang sakit dan tidak mampu tidur di bangku, malah ada ibu baru bersalin bersama bayi kecil. Mereka ini akan dibawa ke hotel supaya dapat berehat dengan lebih selesa.

“Ini bukan soal kemewahan, tetapi keperluan demi kesihatan dan keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, banjir kali ini antara yang terburuk, melibatkan hampir 2,000 mangsa di 19 PPS seluruh daerah, dengan sebahagian kawasan sudah dua kali dinaiki air dalam tempoh sebulan.

“Banjir ini bukan pertama kali, ia berulang. Saya harap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Bukit Gantang dapat disegerakan kerana setiap kali tengkujuh, rakyat yang menanggung derita,” katanya.

+ - reset