TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat maut termasuk remaja perempuan dalam nahas tiga motosikal, sebuah Myvi di Tangkak

By
|
Kongsi
image

TANGKAK 25 Okt. – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun antara empat individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 32.5 Jalan Muar–Segamat, berhampiran Bandar Baru Sagil, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, kemalangan yang berlaku sekitar pukul 10.20 malam itu menyebabkan tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tangkak.

“Kesemua mangsa yang maut merupakan penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata, selain remaja perempuan itu, dua lelaki berusia 20 tahun turut disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun meninggal dunia di hospital.

Mangsa-mangsa dikenal pasti sebagai penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha Y15ZR.

Sementara itu, pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Roslan menjelaskan, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan kerana tiada saksi yang melihat bagaimana kejadian itu berlaku.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan video dan gambar kejadian, serta menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836.

+ - reset