TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buru tuan lembu sebabkan kemalangan ragut nyawa bayi di Bera

By
|
Kongsi
image

 

BERA 24 Okt - Polis kini giat mengesan pemilik lembu yang dipercayai menjadi punca kemalangan maut sehingga meragut nyawa seorang bayi perempuan berusia 11 bulan di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir, berkata setakat ini tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik haiwan ternakan berkenaan, yang menyebabkan kereta dinaiki mangsa sekeluarga terbabas selepas merempuh kumpulan lembu di jalan raya.

“Siasatan turut menjurus kepada aspek kecuaian pemilik haiwan yang membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan awam sehingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kawalan Kerbau dan Lembu (EKKL) jika didapati cuai atau gagal mengawal ternakan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zulkiflee, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Bera dengan kerjasama polis telah melaksanakan operasi khas di bawah EKKL bagi menangani isu haiwan ternakan berkeliaran di jalan utama sekitar daerah itu.

“Operasi dijalankan bermula jam 11 malam tadi (Khamis) dan berjaya menangkap dua ekor lembu serta dua ekor kerbau.
Ia sebahagian daripada usaha berterusan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk kemalangan daripada berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik haiwan yang gagal mematuhi peraturan sehingga menyebabkan kemalangan atau kehilangan nyawa.

“Orang ramai diminta segera melaporkan kepada polis atau JPV sekiranya melihat haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya bagi mengelak tragedi sama berulang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam Khamis, mangsa Nur Adriana Amira Mohamad Norismail menaiki Perodua Bezza bersama kedua ibu bapanya dalam perjalanan dari Kepayang ke Kerayong untuk membeli susu.

Siasatan mendapati sekumpulan lembu tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan, menyebabkan pemandu gagal mengelak lalu melanggar haiwan berkenaan sebelum kenderaan terbabas ke bahu jalan.

Mangsa yang berada di pangkuan ibunya di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32, akibat kecederaan di kepala.

Ibu mangsa berusia 21 tahun turut cedera di kepala manakala bapanya, 22 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Mayat bayi malang itu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, untuk bedah siasat.

+ - reset