TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

ASEAN perlu kekal bersatu tangani isu Laut China Selatan – Mohamad Hasan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Isu kritikal di Laut China Selatan perlu ditangani menerusi semangat perpaduan dan kesepakatan antara negara anggota ASEAN, dengan pendekatan yang terbuka, tegas dan bersatu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China (2024–2027), Malaysia komited memperjuangkan kepentingan bersama, khususnya dalam memajukan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan.

Menurutnya, ASEAN dan rakan dialog harus sentiasa sedar bahawa geografi menyatukan rantau ini, justeru keselamatan serantau mesti menjadi keutamaan bersama.

“Dalam menghadapi cabaran ini, ASEAN mesti kekal teguh dan bersatu. Jika kita ragu atau berpecah, ia hanya akan mendorong pembentukan pakatan kecil yang melemahkan peranan ASEAN.

“Kita mesti mengamalkan perkongsian, mengelak ketegangan dan menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, ASEAN dan Timor-Leste telah mencapai kemajuan besar tahun ini dalam usaha menyertai keluarga ASEAN, dengan Penggubalan Garis Panduan bagi Memudahkan Penyertaan Timor-Leste dalam Instrumen Undang-Undang ASEAN disifatkan sebagai pencapaian bersejarah.

“Penyertaan ‘demokrasi muda’ ini bukan sahaja mengukuhkan tekad bersama kita, tetapi juga meningkatkan keupayaan ASEAN menghadapi cabaran masa depan secara kolektif,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Algeria dan Uruguay telah menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) pada awal tahun ini, manakala Finland dijangka menyertai tidak lama lagi — menjadikan jumlah keseluruhan 58 negara yang menjadi pihak kepada perjanjian itu.

“Ini membuktikan reputasi ASEAN semakin meningkat sebagai pusat dialog global yang dihormati serta rakan yang boleh dipercayai dalam menjamin keamanan serantau,” katanya.

+ - reset