TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar hargai kesabaran, kemesraan rakyat sepanjang penganjuran ASEAN 2025

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Nov - Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 melabuhkan tirai dengan kejayaan besar buat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, apabila negara ini berjaya mengemudi blok serantau itu dengan penuh keyakinan di tengah-tengah perubahan geopolitik dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di bawah kepemimpinan Malaysia, ASEAN berjaya menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu serta meneguhkan semangat perpaduan dan keamanan yang menjadi asas kepada rantau ini.

"Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menutup tirai Kepengerusian Malaysia dengan sejarah yang terpahat di Kuala Lumpur, daripada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand hinggalah pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar ASEAN terletak pada kesetiaan, keterangkuman dan keyakinan antara negara anggotanya.

"Tatkala teraju ini diserahkan kepada Filipina, Malaysia menatap kembali perjalanan ini dengan rasa syukur. Tidak semua kebuntuan terurai, namun setiap langkah berani telah melengkungkan sejarah menuju harapan dan keadilan," katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kemesraan yang ditunjukkan sepanjang tempoh kepengerusian negara itu dalam blok ASEAN.

"Dunia sudah menyaksikan, inilah wajah sebenar Malaysia!" katanya penuh bangga.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada 28 Oktober lalu turut mencatat detik bersejarah dengan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Pengerusi ASEAN, sebelum tanggungjawab itu diserahkan kepada Filipina tahun depan.

+ - reset