TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga lelaki ditahan belasah budak 12 tahun hingga cedera dituduh curi 'power bank'

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Polis menahan tiga lelaki berusia antara 49 hingga 61 tahun kerana disyaki memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dituduh mencuri pengecas bateri telefon bimbit di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata penahanan dilakukan selepas polis mengesan satu video tular di media sosial memaparkan kejadian kanak-kanak itu dipukul oleh beberapa lelaki di kawasan medan selera PPR terbabit.

“Suspek pertama ditahan di Kelantan semalam, manakala dua lagi suspek diberkas di sekitar Kuala Lumpur, hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tuduhan bahawa mangsa mencuri pengecas bateri milik rakan kepada salah seorang suspek.

“Mangsa mengalami luka kecil di bahagian dahi serta mulut dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Menurut Fadil, siasatan lanjut mendapati insiden itu berlaku di kawasan Setapak, sebelum polis menjejaki semua suspek yang kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Ketiga-tiga suspek ditahan di lokasi berasingan di Kelantan dan Kuala Lumpur,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa.

 

+ - reset