Berita Berita
MP kerajaan gesa tindakan tegas terhadap Awang Hashim atas dakwaan hina Hulu Langat, Kota Melaka
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan menggesa tindakan tegas diambil terhadap Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) selepas beliau didakwa mengeluarkan perkataan menghina serta bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan ketika sesi penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Khamis lalu.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mendakwa Awang beberapa kali menyebut perkataan ‘Hulu Laknat’ ketika berucap di Dewan Rakyat. Menurutnya, ungkapan itu jelas menghina Hulu Langat, sebuah daerah di Selangor yang diperkenan penggunaannya secara rasmi oleh Sultan Selangor dalam urusan pentadbiran dan perundangan negeri.
“Tindakan YB Pendang ini bukan sahaja mencemarkan nama baik Hulu Langat dan rakyatnya, malah turut dianggap menghina naungan serta pemerintahan Sultan Selangor.
“Ia amat tidak wajar, tidak beradab dan bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan serta tatakelakuan Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mohd Sany turut mempersoalkan sama ada perkataan laknat yang dalam al-Quran ditujukan kepada syaitan, iblis dan Firaun sepatutnya disamakan dengan 1.5 juta penduduk Hulu Langat.
Selain Mohd Sany, beberapa Ahli Parlimen lain turut membantah perbuatan Awang, termasuk Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka); Syahredzan Johan (PH-Bangi); Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading); Azli Yusof (PH-Shah Alam); dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).
Poay Tiong turut mendakwa Awang pernah menyebut ‘Kota Celaka’ ketika merujuk Kota Melaka pada 15 Oktober lalu.
“Penduduk dan pengundi di kawasan saya menyatakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap perbuatan tersebut. Kita berharap Tan Sri Speaker menerima usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat,” katanya.
Sany memaklumkan bahawa usul rasmi telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pagi tadi untuk membolehkan siasatan segera dilakukan dan tindakan sewajarnya diambil.
Dalam usul berkenaan, beliau mencadangkan Awang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selaras dengan Peraturan 36(10)(a) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atas ucapan yang didakwa berunsur penghinaan dan tidak patut diungkapkan oleh seorang Ahli Yang Berhormat.
Berita berkaitan
November 3, 2025, 8:49 pm
Anwar kongsi detik manis bersama cucu, maklum semakin pulih
November 3, 2025, 8:34 pm
Enam kereta rosak dihempap runtuhan batu di Taman Bukit Permai, Ampang Jaya
November 3, 2025, 8:26 pm
Ibu Zayn Rayyan fail rayuan terhadap sabitan, hukuman penjara 5 tahun
November 3, 2025, 8:26 pm
Jumlah pekerja asing menurun kepada bawah 300,000 – Johari
November 3, 2025, 8:16 pm
Prasarana nafi video tular tren laluan Ampang terbakar
November 3, 2025, 5:31 pm
'ECRL bukan projek gajah putih, Malaysia terima 80 peratus keuntungan' - Loke
November 3, 2025, 4:47 pm
'Warzone tak pernah ganggu hidup awak' - Yusof Azmi balas teguran Johan Ghazali
November 3, 2025, 4:25 pm
GRS dijangka umum senarai calon PRN Sabah pada 11 atau 12 November
November 3, 2025, 4:20 pm
Fahmi: 1,456 kandungan jelik libatkan kanak-kanak berjaya diturunkan sejak 2022
November 3, 2025, 4:15 pm
