TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Inilah saat terjemah segala pengorbanan' - Anwar ucap selamat maju jaya kepada 413,000 calon SPM 2025

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 3 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mula menduduki peperiksaan hari ini di seluruh negara.

Dalam satu hantaran di laman media sosial rasminya, Anwar menyifatkan peperiksaan itu sebagai detik penting untuk para pelajar menterjemahkan segala usaha, pengorbanan dan doa yang telah dicurahkan sepanjang tempoh persediaan.

“Selamat maju jaya buat semua anak-anak yang mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 hari ini.

“Inilah saat untuk menterjemahkan segala usaha, pengorbanan, setiap malam tanpa lena dan tiap doa yang tidak pernah putus selama ini,” katanya.

Perdana Menteri turut menasihati calon agar kekal tenang, yakin pada diri dan terus berdoa, selain mengingatkan bahawa doa ibu bapa, guru serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa mengiringi perjuangan mereka.

“Kekal tenang, yakin pada diri dan teruskan berdoa.

“Insya-Allah, doa ibu bapa, guru serta seluruh rakyat Malaysia turut bersama mengiringi langkah kalian,” ujarnya.

Anwar turut berharap agar segala usaha para calon diberkati dan dipermudah, sekali gus memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu.

Seramai 413,372 calon SPM 2025 mula menduduki peperiksaan hari ini di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Bagi memastikan kelancaran proses peperiksaan, Kementerian Pendidikan (KPM) menugaskan seramai 127,526 petugas yang akan bertugas sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung. - Media Telus

 

+ - reset