TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Terdapat unsur pengabaian' - Polis panggil ibu bapa budak lemas di kolam 'homestay' di Durian Tunggal

By
|
Kongsi
image

 

ALOR GAJAH 3 Nov – Polis akan memanggil ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditemukan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di Durian Tunggal bagi membantu siasatan berhubung kejadian menyayat hati itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas polis mendapati terdapat unsur pengabaian dalam insiden berkenaan.

“Mangsa telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 malam, kelmarin.

“Susulan itu, kedua-dua ibu bapa mangsa akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) bagi kesalahan mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut Azrul, laporan berhubung kejadian diterima pada pukul 2.12 pagi dan siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas di dalam kolam renang rumah inap ketika menghadiri program hari keluarga bersama keluarganya di Durian Tunggal.

Difahamkan, mangsa dan ibu bapanya bersama tujuh lagi ahli keluarga bertolak dari Temerloh, Pahang ke Melaka dengan menaiki bas untuk menghadiri program berkenaan pada Jumaat lalu.

Rombongan itu terdiri daripada kira-kira 35 individu termasuk 20 kanak-kanak yang menginap di rumah inap dilengkapi kolam renang.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolam tidak lama selepas keluarga selesai mengadakan penyampaian hadiah acara sukaneka pada pukul 10 malam.

"Kejadian hanya disedari bapa saudara mangsa kira-kira 10.50 malam apabila terlihat kanak-kanak itu terapung di dalam kolam,” kata sumber.

Ahli keluarga cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ambulans, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Menurut sumber lagi, ketika kejadian bapa mangsa berada di bahagian belakang rumah menyediakan barbeku, manakala ibu mangsa berusia 36 tahun mendakwa kali terakhir melihat anaknya kira-kira pukul 9 malam ketika kanak-kanak itu naik ke bilik atas untuk bermain.

 

+ - reset