TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekalan air tiga premis di Kuala Muda dipotong kerana disyaki jalankan pelacuran

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 3 Nov. – Bekalan air di tiga premis yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di daerah Kuala Muda dipotong dalam Op Air Noda hari ini.

Operasi berkenaan melibatkan kerjasama polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Syarikat Air Darul Aman (SADA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata tindakan pemotongan bekalan air itu dibuat mengikut Seksyen 55 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Menurutnya, ketiga-tiga premis tersebut pernah diserbu beberapa kali dan didapati masih meneruskan kegiatan haram berkenaan.

“Sebelum ini, tangkapan telah dibuat terhadap individu yang terlibat dan mereka juga sudah didakwa di mahkamah, namun kegiatan itu masih berlaku.

“Sebagai langkah tegas bagi membendung kegiatan tersebut, kita mengambil tindakan memotong bekalan air ke premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dapat dibanteras sepenuhnya.


+ - reset