TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Doktor Malaysia menang tempat pertama di Pertandingan Reumatologi Dunia di AS

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Nov – Seorang doktor Malaysia mencipta sejarah apabila dinobatkan pemenang tempat pertama Thieves Market Competition sempena Persidangan American College of Rheumatology (ACR) 2025 yang berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Pakar Perubatan Dalaman dan Felo Reumatologi Hospital Putrajaya, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Azmad Kareem Anwardeen, meraih anugerah tertinggi menerusi kes bertajuk “The Tale of the Silent Guard and the Ceramic Core.”

Kes berkenaan menampilkan seorang pesakit berusia 25 tahun yang mengalami masalah sistem imun tidak aktif sehingga menyebabkan jangkitan berulang serta pengerasan aorta — keadaan dikenali sebagai aorta porselin.

"Idea bahawa ketiadaan imuniti, bukan berlebihan (imuniti), boleh menyebabkan keradangan mengejutkan ramai pihak," katanya kepada Bernama.

Pembentangan beliau pada 26 Oktober lalu berjaya memikat hati juri dan penonton melalui kombinasi penaakulan klinikal yang mantap dan penceritaan menarik, sekaligus menonjolkan bagaimana kekurangan imuniti turut berisiko tinggi seperti sistem imun yang terlalu aktif.

Daripada lebih 200 penyertaan seluruh dunia, hanya empat finalis dipilih untuk pembentangan langsung di Thieves Market, dengan kes Dr Azmad Kareem meraih 75 peratus undian penonton — sekaligus menobatkannya sebagai juara.

Persidangan ACR yang dihadiri lebih 13,000 delegasi dari lebih 100 negara itu merupakan pertemuan terbesar dan paling berprestij dalam bidang reumatologi, menghimpunkan doktor, penyelidik serta pendidik bagi berkongsi kemajuan terkini dalam rawatan penyakit autoimun dan muskuloskeletal.

Dr Azmad Kareem yang kini menjalani latihan reumatologi di King’s College Hospital, London, berkata kemenangan itu bukan sekadar kejayaan peribadi tetapi detik membanggakan buat Malaysia di pentas antarabangsa.

"Saya tidak pernah menyangka akan berdiri di pentas itu mewakili Malaysia.

"Kemenangan ini bukan milik saya saja... ia juga milik pakar perunding saya, pasukan saya dan setiap pesakit yang mengamanahkan kami dengan kisah mereka," katanya.

+ - reset