TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Enam kereta rosak dihempap runtuhan batu di Taman Bukit Permai, Ampang Jaya

By
|
Kongsi
image

AMPANG JAYA 3 Nov. - Enam kereta milik penduduk di Taman Bukit Permai mengalami kerosakan selepas dihempap runtuhan batu berhampiran kawasan parkir Pangsapuri Mutiara Court, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.45 pagi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa tiada mangsa cedera atau kehilangan nyawa dalam insiden berkenaan.

“Siasatan di lokasi mendapati runtuhan berlaku dari cerun bukit berhampiran kawasan parkir.

“Runtuhan pertama dikesan pada pukul 8.15 pagi, manakala runtuhan kedua berlaku sekitar pukul 8.50 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Azam, lima daripada enam kereta yang terjejas berjaya dikeluarkan, manakala sebuah Perodua Kancil mengalami kerosakan teruk selepas dihempap batu besar.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah turut melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya kini menjalankan kerja pembersihan menggunakan jentera berat bagi mengalihkan batu yang menghalang kawasan parkir.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan pergerakan tanah atau batu di kawasan cerun yang boleh mengundang bahaya.

+ - reset