TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu Zayn Rayyan fail rayuan terhadap sabitan, hukuman penjara 5 tahun

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Nov – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abul Matin, Ismanira Abdul Manaf, hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan mengabaikan anak sulungnya.

Menurut laporan Berita Harian, notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Haresh Mahadevan & Co, dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Perkara tersebut disahkan oleh firma guaman berkenaan yang mewakili Ismanira, 30, ketika dihubungi media hari ini.

Menurut notis rayuan, Ismanira tidak berpuas hati terhadap keseluruhan keputusan mahkamah yang mensabitkan kesalahannya serta menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun, selain bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM3,000 bersama seorang penjamin tempatan, dan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 31 Oktober lalu, Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan Ismanira bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan bekas kerani itu menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Wanita Kajang selepas permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak.

Dalam penghakimannya, Syahliza menjelaskan bahawa Akta Kanak-Kanak 2021 tidak memperuntukkan definisi khusus bagi perkataan “pengabaian” di bawah Seksyen 31(1)(a), dan mahkamah tidak terikat dengan taksiran psikologi mana-mana organisasi.

Beliau menegaskan bahawa penentuan sama ada tindakan tertuduh merupakan satu bentuk pengabaian perlu berdasarkan fakta dan keterangan kes.

“Pembelaan berhujah bahawa tertuduh tidak mengabaikan mangsa pada hari kejadian kerana Zayn Rayyan berjalan di belakangnya — satu rutin biasa bagi si mati yang bersifat tegar dan tidak boleh diubah.

"Namun hujahan itu bercanggah dengan keterangan tertuduh sendiri dan saksi pembelaan keempat (SD4), iaitu rakan baiknya, Umi Syafiqah Rohizal,” katanya.

Tambahnya, tertuduh telah membiarkan anaknya berjalan di belakang tanpa pengawasan sewajarnya, yang akhirnya membawa kepada kehilangan mangsa.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai penjaga kepada anaknya, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ketika kejadian, didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, sehingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

+ - reset