Berita Jenayah
Polis tumpas 'Geng Pipit', mesin ciplak nombor casis bongkar rangkaian curi motosikal
KUALA LUMPUR 3 Nov - Kegiatan jenayah terancang kumpulan samun bersenjata dikenali sebagai ‘Geng Pipit’ akhirnya terbongkar selepas polis menahan empat lelaki tempatan yang aktif melakukan samun dan mencuri motosikal di sekitar ibu negara serta Selangor.
Penahanan itu turut membawa kepada penemuan sebuah mesin khas digunakan untuk memalsukan nombor casis motosikal curi, yang dibeli secara dalam talian dengan harga antara RM600 hingga RM1,500.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata kejayaan itu susulan risikan berhubung kes samun di stesen minyak Petron Batu Tiga, Jalan Ipoh pada 21 Oktober lalu.
“Kejadian berlaku sekitar jam 6.19 pagi apabila dua lelaki bersenjatakan parang menendang pintu masuk premis sebelum melarikan wang tunai RM975 dari kaunter.
“Seorang suspek mengambil wang manakala seorang lagi mengawal pintu masuk. Mereka kemudiannya melarikan diri menaiki Perodua Kancil bersama dua lagi rakan subahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Beliau berkata, susulan siasatan lanjut, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dua hari kemudian bersama kereta yang digunakan dalam kejadian.
“Dua lagi suspek berusia 25 dan 32 tahun ditahan pada 24 Oktober di sekitar Selangor, manakala tangkapan keempat iaitu lelaki berusia 40 tahun dibuat keesokan harinya,” katanya.
Ahmad Sukarno memaklumkan semua suspek direman antara tiga hingga 10 hari bagi membantu siasatan.
“Seorang daripada empat tangkapan dikenal pasti bukan suspek utama kerana hanya penama asal dalam geran kenderaan digunakan semasa kejadian.
“Namun, seorang lagi suspek yang masih bebas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar ibu negara,” jelasnya.
Pemeriksaan lanjut di lokasi serbuan turut menemui mesin penanda logam (marking machine) disyaki digunakan untuk menukar nombor casis motosikal curi bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, malah ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine, amphetamine dan THC,” katanya.
Tambahnya, kejayaan penahanan kumpulan itu membolehkan polis menyelesaikan tiga kes samun berkawan bersenjata serta empat kes curi motosikal di sekitar Kuala Lumpur.
Polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 bagi membantu siasatan.
Berita berkaitan
April 28, 2026, 1:36 pm
10 warga asing ditahan, empat sindiket penipuan tumpas di Selangor
April 27, 2026, 2:48 pm
Kes hina Sultan Selangor: Polis kenal pasti pemilik akaun Facebook, 21 laporan diterima
April 27, 2026, 10:25 am
Lelaki ditumbuk hingga alami kecederaan kepala gara-gara selisih faham dengan isteri suspek
April 24, 2026, 11:16 am
Lelaki warga asing ditahan selepas ugut bunuh adik, miliki senjata api buatan sendiri
April 24, 2026, 11:03 am
Lelaki 55 tahun ditahan selepas lakukan gangguan seksual di pasar raya
April 24, 2026, 10:52 am
Imigresen tahan 45 PATI dalam operasi besar-besaran di lapan lokasi sekitar Selangor
April 23, 2026, 5:03 pm
Lelaki ceroboh, lakukan khianat di Subang Jaya ditahan selepas video tular
April 23, 2026, 10:59 am
Lelaki positif dadah nekad lari sekatan jalan raya ditahan selepas dikejar polis
April 22, 2026, 10:43 am
