Berita Jenayah
Lelaki cuba seludup tembakau guna dron ke Penjara Sungai Udang ditahan bersama isteri
MELAKA 17 Julai – Taktik licik seorang lelaki yang cuba menyeludup masuk tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang dengan menggunakan sebuah dron akhirnya tumpas selepas dia ditahan bersama isterinya oleh pihak polis, baru-baru ini.
Kegiatan itu dilakukan suspek berdasarkan panduan serta arahan lokasi yang diberikan oleh seorang banduan dari dalam penjara menerusi panggilan telefon bimbit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berusia 27 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Keris Satria, Sungai Udang kira-kira pukul 1.20 pagi pada 15 Julai lalu.
Penahanan itu dibuat selepas sistem pengesan dron milik Jabatan Penjara Malaysia mengesan sebanyak tiga kali penerbangan dron misteri memasuki ruang udara penjara tersebut sebelum berlegar-legar di atas bangunan bengkel kulinari dan berpatah balik.
“Hasil siasatan mendapati dron jenis Air 2S itu telah diterbangkan dari kediaman sewa suspek yang terletak kira-kira 313 meter sahaja dari kawasan sempadan penjara.
“Soal siasat lanjut mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron berkenaan bagi meninjau dan mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menyeludup bekalan tembakau, yang sepatutnya dijadualkan dihantar pada malam tersebut kepada seorang banduan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Halim menjelaskan, suspek turut mendedahkan bahawa banduan terbabit telah menghubunginya secara terus menggunakan telefon bimbit bagi memaklumkan koordinat atau lokasi tepat untuk menjatuhkan bungkusan tembakau tersebut, iaitu di Blok Berkat di dalam kompleks penjara.
Susulan pendedahan itu, pihak pengurusan penjara kini sedang giat menjalankan siasatan dalaman bagi mengesan dan mengenal pasti banduan yang memiliki kemudahan telefon bimbit serta terlibat dalam rangkaian kegiatan penyeludupan berkenaan.
Tambah Halim, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah serta Seksyen 58 Akta Penjara 1955.
Berita berkaitan
September 9, 2026, 6:25 pm
Polis tahan lima individu termasuk bekas pengerusi Tabung Haji bantu siasatan
September 8, 2026, 1:40 pm
Lelaki gagal bayar along dipaksa simbah cat dan bakar rumah mangsa lain
September 7, 2026, 1:40 pm
Dua lelaki ditahan polis selepas ragut rantai emas warga emas di Arau
September 7, 2026, 11:13 am
Mat rempit lari tinggal motosikal lepas dikepung polis di Putrajaya
September 6, 2026, 9:54 pm
Polis buru lelaki warga asing selepas syabu dijumpai dalam kereta
September 6, 2026, 9:17 am
Polis Pahang buka siasatan kanak-kanak perempuan dilayan kasar di taska
September 5, 2026, 2:53 pm
Vape disyaki kandungi dadah ‘Piu Piu’ RM160,000 dirampas di Batu Pahat
September 5, 2026, 2:45 pm
Tukang urut wanita maut terjatuh ketika elak pemeriksaan
September 5, 2026, 12:48 pm
Polis tahan 4 remaja curi 2 motosikal ketika solat Jumaat di Rembau
September 3, 2026, 2:32 pm
