Berita Berita
Merdeka 118 dinobat bangunan tinggi terbaik dunia
 
KUALA LUMPUR 4 Nov – Malaysia sekali lagi melakar sejarah di pentas antarabangsa apabila Menara Merdeka 118 secara rasmi dinobat sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (kategori 300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism (CVU), dalam majlis anugerah berprestij di Toronto, Kanada.
Anugerah berkenaan, yang diumumkan pada Majlis Anugerah CVU 2025, mengiktiraf kecemerlangan dalam reka bentuk bangunan tinggi serta perancangan bandar di peringkat global, sekaligus menegaskan keunggulan Malaysia dalam seni bina dan kejuruteraan moden.
Dalam kenyataan, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV) berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen Merdeka 118 terhadap kelestarian, inovasi dan nilai warisan kebangsaan.
“Dengan ketinggian 678.9 meter, Merdeka 118 kini diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggaradan menara kedua tertinggi di dunia, melambangkan kemajuan serta aspirasi Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai penghormatan besar buat negara dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ikonik berkenaan.
“Sejak dari awal lagi, visi kami bukan hanya untuk membina sebuah menara ikonik, tetapi juga membentuk kawasan yang menghubungkan masyarakat, meraikan warisan serta menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan dan inklusif.
Kami berasa bangga apabila visi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Merdeka 118 mencerminkan semangat kemerdekaan dan keyakinan Malaysia terhadap masa depan,” katanya.
Arkitek utama projek, Karl Fender daripada Fender Katsalidis, berkata reka bentuk Merdeka 118 bukan sekadar mencapai ketinggian luar biasa, sebaliknya mencipta monumen abadi yang menghormati warisan Malaysia sambil meraikan masa depan.
“Anugerah ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa seni bina unggul terhasil daripada nilai serta tujuan mendalam, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi CVU, Shonn Mills, memuji Merdeka 118 sebagai lambang reka bentuk bersepadu yang menyatukan kecekapan teknikal, nilai budaya serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Bangunan ini menjadi contoh bagaimana seni bina moden mampu menjadi pemangkin kepada pembaharuan bandar sambil mencerminkan identiti dan aspirasi sesebuah negara,” katanya.
Merdeka 118 yang dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), merupakan mercu utama Presint Merdeka 118 yang merangkumi dua stadium bersejarah, ruang komuniti serta reka bentuk berasaskan kelestarian.
Antara inisiatif berteraskan komuniti di bawah projek ini termasuk Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Geran Komuniti Merdeka 118, yang menyokong usaha menghidupkan semula kawasan kejiranan bersejarah sekitar ibu kota.
PNBMV menegaskan, pengiktirafan global ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di peta dunia, tetapi turut mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju dalam pembangunan bandar mampan dan inklusif.
Berita berkaitan
November 4, 2025, 2:59 pm
Tak pulang rumah sejak Sabtu, polis mohon bantuan orang ramai cari Rayqal Naufal
November 4, 2025, 2:21 pm
Mahkamah putuskan bekas suami Jahidah kekal bersalah, penjara 10 tahun
November 4, 2025, 1:05 pm
Lelaki dicekup hanya berseluar dalam bersama isteri orang di Segamat
November 4, 2025, 12:47 pm
Ahli Parlimen gesa Saifuddin, Hannah Yeoh berundur susulan rayuan FAM ditolak FIFA
November 4, 2025, 12:40 pm
Kerajaan tegaskan setiap sekatan kandungan ikut undang-undang – Fahmi
November 4, 2025, 12:36 pm
Kerajaan kaji naikkan had BUDI95 pemandu e-hailing kepada 800 liter sebulan
November 4, 2025, 11:45 am
Influencer Taiwan ditemui mati dalam tab mandi di hotel bersama Namawee, polis siasat sebagai kes bunuh
November 4, 2025, 11:15 am
Chegubard lepas, bebas tuduhan fitnah Agong
November 4, 2025, 11:11 am
KPDN Perak sita aksesori telefon bimbit tiruan bernilai RM27,742
November 4, 2025, 11:06 am
