TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Chegubard lepas, bebas tuduhan fitnah Agong

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Nov – Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Norma Ismail selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim berkata, keputusan dibuat selepas meneliti secara menyeluruh keterangan dan hujahan daripada kedua-dua pihak.

"Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri," katanya di mahkamah, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Badrul Hisham, 46, sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan tersebut boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, sekitar jam 6 petang pada 22 Januari 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Ogos lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas selesai mendengar keterangan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 16 Mei lalu, seramai empat saksi pendakwaan tampil memberi keterangan, termasuk pengadu dari Istana Negara, dua pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta pegawai penyiasat kes.

 

+ - reset